Tuesday, September 13, 2011

Rakyat sering terpengaruh bangsa yang menjajah

Oleh Tuan Guru Abdul Hadi Awang

NEGARA baru sahaja menyambut ulang tahun kemerdekaan yang dicapai sejak lebih setengah abad. Walaupun penjajah Barat sudah pulang ke negara asal mereka, namun kesannya masih menebal dalam jiwa dan amalan rakyat khususnya Melayu yang beragama Islam.
Menurut Ibnu Khaldun, tokoh kemasyarakatan Islam bertaraf dunia menegaskan dalam bukunya yang terkenal Al-Muqaddimah yang diterjemah kepada pelbagai bahasa iaitu: “Kebiasaannya rakyat negara yang dijajah terpengaruh dengan bangsa penjajahnya”.

Mereka terikut-ikut dengan pemikiran dan budaya penjajahnya yang dianggap lebih kuat, maju dan kaya.
Hanya Islam telah menempa sejarah, membuktikan kekuatan jati diri umat Islam yang masih kuat berpegang dengan ajaran Islam yang sempurna ketika kejatuhan Baghdad, pusat kerajaan Abbasiyyah.

Mengalahkan kaum Tartar

Kerajaannya lemah tetapi umat Islam masih teguh berpegang dengan agamanya, bukan sahaja berjaya mengalahkan kaum Tatar yang ganas dalam peperangan ‘Ain Jalut yang berlaku pada hari Jumaat 25 Ramadan tahun 658 H, bahkan selepasnya mereka berjaya mengislamkan kaum Tatar apabila ramai pemimpinnya menganut Islam dan berjaya melibatkan diri dalam tamadun Islam di benua India.

Dr Snouck Hurgronje (1857-1936), tokoh orientalis Belanda terkenal yang pernah menetap di Indonesia, mengkaji Islam dan masyarakatnya pernah menegaskan: “Tidak menjadi masalah sekiranya penganut Islam berpegang dengan agama mereka sekadar melakukan ibadat dan pengajian agama yang terhad di masjid dan pusat-pusat pengajian agama yang terkawal. Apa yang menjadi ancaman besar kepada kuasa Barat dan pengaruhnya ialah kalangan ulama yang membawa doktrin politik yang berusaha mengembalikan semula pemerintahan Islam.”

Lord Cromer mantan Gabenor Inggeris di Mesir dan Sudan pula menegaskan: “Kemerdekaan akhirnya hendaklah diberi kepada tanah jajahan, tetapi hendaklah dirancang supaya penyerahan kuasa diberi kepada anak negeri yang mendapat pendidikan dan asuhan Barat, melangsungkan dasar dan perancangan yang diatur selepas diberi kemerdekaan.”

Adapun Perdana Menteri Britain, Glade Stone pada zaman Maharani Victoria menegaskan dalam ucapan di Parlimen ketika membahaskan masalah penentangan umat Islam dengan gagah berani terhadap penjajah, walaupun umat Islam itu dalam serba kekurangan.

Sambil memegang al-Quran beliau menegaskan: “Selagi mereka berpegang dengan buku ini, selama itulah kita tidak mampu menundukkan mereka”.

Menoleh ke belakang Kesemua kenyataan di atas tersebut mewajibkan kita merenung penuh iktibar dengan ikhlas. Mengapa tanah air umat Islam termasuk Malaysia yang kaya dengan sumber alam kurniaan Allah, memiliki tenaga manusia dan kedudukan geografi yang terbaik, masih berada di tahap negara membangun dan memerlukan belas ihsan dan arahan negara-negara maju yang pernah menjajah mereka dengan menjadikan sandaran kekuatan mereka daripada sumber bekas bangsa yang dijajah dan tanah jajahan mereka.

Bagi umat Islam, mereka hendaklah kembali kepada sumber ajaran agama mereka sendiri. Rasulullah s.a.w memulakan perjuangan kemerdekaan yang sebenar dengan berdasar dan berteraskan pengabdian diri hanya kepada Allah, dengan tegas menolak sebarang perhambaan kepada yang lain daripada- Nya di kalangan makhluk.

Kemerdekaan dengan makna yang lengkap, mengandungi ibadat dan cara hidup seluruhnya. Bukan sahaja menentang syirik yang bersifat ibadat, bahkan termasuk syirik ketundukan kepada peraturan ciptaan manusia dalam perkara yang tidak diizin oleh Allah kerana di luar kemampuan akal manusia.

Allah mengizinkan penggunaan akal mengikut kemampuannya dengan adil dan tepat, mengikut kajian dan ilmu akal yang bijak memenuhi tuntutan cara hidup yang memerlukan pengalaman dan kajian mereka sendiri.

Perjuangan Rasulullah bermula di Makkah

Perjuangan Rasulullah s.a.w bermula di Makkah di tanah air sendiri yang dikongkong oleh pemimpin jahiliyah Arab di kalangan bangsa dan keluarga sendiri, walaupun di sana ada wilayah Arab yang dijajah oleh Rom dan Parsi.

Sebenarnya Rasulullah s.a.w menyatakan perjuangan yang benar-benar memberi kemerdekaan sejati kepada seluruh manusia, sehingga generasi awal yang bermula dengan bumi tandus tanpa ilmu, tidak ada hasil bumi dan asas tamadun kebendaan berjaya menjadi bangsa yang memimpin dunia.

Bermula dengan pembangunan insan yang lengkap mengikut fitrahnya, jasad dan roh, akal dan ilmu, individu dan masyarakat yang meliputi pembangunan keluarga, kejiranan, politik, ekonomi, tempatan dan sejagat.

Dengan ajaran Islam yang sempurna merangkumi akidah, syariat dan akhlak, telah berjaya meneroka dunia yang luas setelah berjaya menjatuhkan pemimpin jahiliyah Arab dan dua kuasa besar dunia.

Berteraskan ‘adil untuk semua’ dan menganut agama tanpa paksaan, menjadikan semua pemimpin dan kuasa besar yang zalim tumbang dan musnah, kerana keadilan Islam yang diterima rakyat mereka sendiri yang tidak tertahan dengan kezaliman dan keruntuhan akhlak, walaupun mereka daripada kalangan pemimpin seagama dan sebangsa.

Islam telah berjaya memerdekakan manusia bukan sahaja ilmu akidah bahkan membetulkan ilmu akal tanpa sebarang paksaan.

Sejarah sebelum kedatangan Islam menunjukkan bahawa orang-orang yang bijak di kalangan bangsa bertamadun dalam berbagai ilmu dibunuh kerana takut ada orang yang lebih bijak mampu mendirikan istana yang lebih cantik.

Apabila Rabi’ bin ‘Amir seorang panglima kecil Islam yang dihantar menjadi utusan menemui Rustam panglima besar Parsi ditawarkan ganjaran lumayan yang menyeronokkan sekiranya membatalkan tentangannya terhadap kerajaan Parsi.

Rabi’ menyatakan tujuan kedatangannya: “Allah yang memerintah kami supaya datang ke sini, mengajak sesiapa yang mahu tanpa paksaan, daripada memperhambakan diri sesama makhluk (termasuk sesama manusia) kepada hanya memperhambakan diri kepada Allah Tuhan Pencipta Alam, daripada berbagai ajaran dan cara yang zalim kepada keadilan Islam, daripada wawasan dunia yang sempit kepada wawasan yang luas, daripada dunia sehingga hari akhirat.”

Islam di Tanah Melayu

Para pendakwah yang datang membawa Islam di rantau Nusantara seluruhnya adalah Islam yang sempurna seperti yang diajar oleh Rasulullah s.a.w.

Bukan sahaja mengislamkan penduduk tempatan, termasuk juga mengislamkan negara, apabila raja-rajanya menerima Islam dan melaksanakan Islam dalam pemerintahan dan masyarakat secara bertahap dengan penuh kebijaksanaan.

Islam dianut dan diamalkan dalam cara hidup. Budaya dan adat tempatan yang tidak bercanggah dengan Islam dan kemanusiaan dikekalkan, bahkan perkara yang bercanggah dengan Islam yang dianggap ringan dan kecil tidak dihapuskan secara paksaan dan undang-undang, tetapi ditinggalkan sedikit demi sedikit sehingga dihapuskan dengan kesedaran sendiri.

Islam telah berjaya memperkasakan rakyat dan kerajaan di Nusantara, sehingga wujudnya kerajaan bertamadun yang maju dan kuat. Bahasa tempatan bertulisan Arab menjadi bahasa ilmu.

Bukan sahaja ilmu agama, bahkan ilmu dunia yang berkembang dengan pesat.

Dengan bahasa Melayu berhuruf bahasa al-Quran menjadikan perkembangan ilmu Islam yang membina jati diri bangsa lebih mudah berkembang pesat dan berjaya menjadi Islam itu petunjuk kepada ilmu duniawi dengan betul.

Perkembangan yang pesat ini terhenti dengan kedatangan penjajah Barat yang membawa agenda penjajahan, penaklukkan dan perhambaan rakyat.

Perlu difahami bahawa kedatangan Islam berbeza dengan kedatangan penjajah. Islam mengharamkan kezaliman dan memperhambakan manusia. Kekayaan negeri yang didatangi menjadi hak rakyat tempatan terlebih dahulu bagi menyelesaikan masalah mereka dengan adil. Adapun penjajah Barat datang memperhambakan rakyat dan memunggah hasil negeri jajahan untuk dibawa pulang ke negeri mereka.

Apa yang menarik, perkembangan dakwah Islam mengatasi penyebaran agama Kristian yang dilakukan oleh penjajah Barat secara paksa.

Maka penentangan terhadap penjajah Barat oleh penduduk Nusantara berkembang bersama dakwah Islam di kalangan penduduk, menjadikan hanya segelintir penduduk tempatan yang menganut kristian yang dibawa penjajah.

Apabila Islam menjadi teras penentangan terhadap penjajah kerana berjatidiri dengan akidah dan akhlak sehingga menjadikan mereka bijak tidak boleh ditipu oleh penjajah, maka Islam menjadi sasaran strategi yang dirancang oleh penjajah terhadap perjuangan kemerdekaan.

No comments:

Post a Comment