Monday, September 12, 2011

Umno tidak kisah . . .

Oleh Mohamed Hanipa Maidin

ADAKAH Umno ambil kisah menceritakan sejarah sebenar perjuangan kemerdekaan negara? Hakikatnya Umno tidak kisah untuk memutarbelitkan ucapan Mohamad Sabu apabila Timbalan Presiden PAS itu menghidangkan sejarah perjuangan kemerdekaaan tanah air dari perspektif yang berbeza.

Umno juga tidak kisah bahawa selama ini sejarah perjuangan kemerdekaan negara disogokkan oleh Umno kepada rakyat dari kacamata Umno semata-mata.

Umno juga tidak kisah untuk menghidangkan kepada rakyat bahawa dari kacamata Umno melalui Jins Shamsuddin, pihak polis British yang terdiri daripada mata-mata (polis) Melayu yang mempertahankan rumah pasong (balai polis) di Bukit Kepong adalah wira kemerdekaan.

Hakikatnya Umno tidak kisah sama ada mata-mata Melayu di rumah pasong Bukit Kepong bekerja dengan penjajah British.

Umno juga tidak kisah tragedi Bukit Kepong berlaku pada 23 Februari 1950, sebelum tanah air merdeka. Maka tidak timbul dakwaan Mat Indera menentang Polis Diraja Malaysia.

Umno tidak kisah bahawa mata-mata Melayu di rumah pasong Bukit Kepong bukanlah Polis Diraja Malaysia kerana negara belum merdeka pada tahun 1950, jauh sekali Malaysia ditubuhkan pada masa itu.

Umno juga tidak kisah bahawa di tahun 1950 itu masih terdapat ramai rakyat tanah Melayu sama ada berbangsa Melayu, Cina atau India yang peka bahawa Tanah Melayu adalah tanah air mereka dan penjajah British tidak berhak untuk mengaut kekayaaan hasil bumi Tanah Melayu.

Umno juga tidak kisah bahawa ramai pemuda dan pemudi Melayu/Islam yang sama sekali tidak reda tanah air mereka dijajah walaupun seinci oleh mana-mana penjajah.

Umno juga tidak kisah bahawa berapa ramai pemuda Melayu seperti Mat Indera yang tidak sanggup menggadaikan maruah, harga diri dan agama mereka dengan bersekongkol dengan penjajah British atau berbangga menjadi anak penjajah.

Umno juga tidak kisah untuk ambil tahu mengapakah Mat Indera yang berkelulusan agama dan pernah menjadi guru agama itu sanggup mati di tali gantung kerana menentang penjajah British?

Umno juga tidak ambil kisah bahawa fakta sejarah menunjukkan tiada seorang pemimpin Umno yang pernah ditangkap oleh penjajah jauh sekali dipenjara dan dibunuh kerana menentang penjajah.

Umno juga tidak kisah bahawa ada pemimpin Umno yang sanggup mengeluarkan kenyataan 'bagaimana kita boleh merdeka sedangkan jarum pun kita tidak mampu buat' yang menunjukkan secara jelas mentaliti anak penjajah.

Umno juga tidak kisah menipu rakyat setiap kali menyambut bulan kemerdekaan kononnya hanya Umno sahaja yang terlibat dalam mendapatkan kemerdekaan Negara.

Umno juga tidak kisah apabila nama-nama besar pejuang kemerdekaaan yang berani dan sanggup dirampas kebebasan mereka oleh British seperti Ustaz Abu Bakar Al Baqir, Pak Sako, Ahmad Boestamam, Dr Burhanuddin al-Helmy, Mat Indera dan lain-lain lagi tidak langsung disebut nama-nama mereka setiap kali negara menyambut kemerdekaan.

Umno juga tidak kisah bahawa pejuangpejuang yang disebut tadi memang ada jasa mereka dalam melawan penjajah. Dan jasa mereka tidak wajar dilupakan sama sekali sewaktu rakyat diminta menyambut bulan Kemerdekaan.

Umno juga tidak kisah dan malu bahawa rakyat sudah muak dengan hidangan Kemerdekaan versi Umno yang tidak jujur menceritakan sejarah sebenar pejuangan menuntut kemerdekaan negara ini.

Umno tidak kisah untuk ambil tahu isi ceramah sebenar ceramah Mat Sabu yang mahukan sejarah perjuangan kemerdekaan negara ini hendaklah dibentangkan secara jujur agar rakyat tidak terkeliru siapakah pejuang sebenar kemerdekaan dan siapa pula petualang yang sebenar.

Umno tidak kisah apabila akhbar proksi mereka, Utusan Malaysia dengan mudah menuduh Mat Sabu menyokong komunis hanya kerana Mat Sabu meminta sejarah sebenar kemerdekaan negara dibentangkan dengan jujur dan telus.

Umno tidak kisah Muhyiddin Yassin sepantas kilat menghentam Mat Sabu sebaik sahaja Utusan mengaitkan Mat Sabu dengan komunis sedangkan Muhyiddin tidak peduli untuk mendengar isi ceramah Mat Sabu terlebih dahulu.

Umno tidak kisah untuk marah Mat Sabu kerana mengiktiraf Mat Indera sebagai pejuang atau wira kemerdekaan sedangkan Yayasan Warisan Johor menerbitkan buku 'Pengukir Nama Johor' yang memasukkan nama dan gambar Mat Indera sebagai salah seorang pengukir nama baik Johor. Umno juga tidak ambil kisah kata-kata aluan buku tersebut ditulis oleh Menteri Besar Johor dari Umno iaitu Dato' Abdul Ghani Othman.

Umno tidak ambil kisah bukankah jika benar Mat Indera menyokong Komunis logiknya salah seorang pengukir nama Melayu di Johor adalah penyokong komunis yang namanya layak dibukukan.

Umno tidak kisah menghentam komunis kerana didakwa zalim membunuh mata-mata Melayu yang bekerja dengan penjajah British, sedangkan apabila rakyat tidak berdosa ditembak mati pasukan polis di Memali (selepas negara merdeka) mulut pemimpin Umno terkunci rapat.

Umno tidak kisah meskipun Malaysia sudah merdeka namun sistem perundangan, kebudayaan dan ekonomi masih tidak merdeka dari cengkaman penjajah.

Umno tidak kisah kemerdekaan yang sebenar bukan dengan mengibarkan Jalur Gemilang tetapi dalam masa yang sama mencengkam rakyat dengan polisi-polisi yang membebankan rakyat.

Umno tidak kisah untuk ambil tahu kemerdekaan sebenar adalah seperti mana kata-kata Ruba'ie Umair kepada Rustom bahawa, "kami diutuskan untuk mengeluarkan manusia dari perhambaan sesama manusia kepada perhambaan kepada Allah sematamata, dari kesempitan dunia kepada keluasan akhirat, dari kezaliman ideologi manusia kepada keadilan Islam.”

Umno tidak kisah menghentam Komunis namun Umno melalui Tengku Adnan Tengku Mansor dengan tanpa segan silu menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Parti Komunis Cina (CPC) pada Ogos 2010 di Beijing dan wakil CPC sering dijemput sebagai tetamu di perhimpunan agung Umno di PWTC (lihat Sinar Harian 6/9/2011 muka 19).

Umno juga tidak kisah pada 31 Ogos yang lalu Najib sendiri tidak ada di dalam negara semasa negara menyambut Hari Kemerdekaan. Ya, Najib menyambut kemerdekaan di Perth, Australia.

Yang Umno kisah hanyalah bagaimanakah rakyat terus-menerus dapat menyokong mereka dengan mengeksploitasi ucapan Mat Sabu semaksimum mungkin.

No comments:

Post a Comment