
Oleh Markus Lim
Salah satu daripada tanda-tanda orang yang berkelakuan terdesak ialah menyalahkan orang lain.Dalam konteks ini, pihak berkenaan senantiasa bersikap defensif, melontarkan bermacam-macam tohmahan dan tidak kurang juga hanya melihat kesalahan orang lain tetapi tidak kepada kesalahan diri sendiri.
Anehnya, pihak yang berkelakuan terdesak itu tidak menyedari bahawa apa yang dilakukannya sebenar mencetuskan perasaan meluat umum terhadap mereka.
Mutakhir ini, begitu banyak laporan akhbar yang memetik kenyataan segelintir pemimpin-pemimpin dan parti politik seolah-olah mereka sahajalah yang maha betul. Manakala pihak satu lagi pula dilabel, dicaci malah terang-terangan digolongkan sebagai pihak yang jahat dan tidak betul.
Amat malang terdapat parti-parti politik dan pemimpinnya di negara ini yang berkelakuan sedemikian seolah-olah segalanya masih sama, walhal iklim politik negara kita sudah pun jauh berubah.
Budaya cabar-mencabar, menelanjangkan keburukan pihak lain serta sindrom penafian menjadi sebahagian daripada amalan yang sebati dalam jiwa segelintir pemimpin politik.
Yang pasti, parti politik pembangkang mahupun pemerintah, kedua-duanya boleh dikatakan mempunyai tanggungjawab dalam hal ini. Budaya berpolitik yang kurang sihat makin menjadi ikutan kerana ia jalan singkat yang paling mujarab untuk menewaskan seteru politik mereka.
Namun apa yang tidak disedari pemimpin-pemimpin politik yang dimaksudkan itu, perbuatan mereka itu hanya menjadikan martabat pemimpin politik kurang dihormati. Barangkali kerana itulah, satu tinjauan pendapat yang dijalankan tidak beberapa lama dahulu mendapati, kepercayaan umum terhadap pemimpin politik makin pudar.
Kejujuran dan keikhlasan pemimpin-pemimpin politik semakin diragui kerana kebanyakan melihat niat pemimpin-pemimpin politik hanyalah sekadar untuk kepentingan peribadi mereka.
Keraguan yang timbul terhadap pemimpin-pemimpin politik turut merebak kepada parti-parti politik yang mana terdapat kecenderungan kini dalam kalangan masyarakat bahawa parti politik bukanlah pentas terbaik untuk memperjuangkan kebajikan rakyat.
Akan tetapi, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) muncul dan bangkit sebagai pilihan utama kebanyakan rakyat. Percambahan begitu banyak sekali NGO di negara ini sejak 2008 baik yang memihak kepada kerajaan atau sebaliknya mencerminkan kekecewaan rakyat terhadap gerak-geri parti-parti politik.
Dalam hati sanubari golongan ini, mereka lebih rela memberikan sokongan kepada NGO kerana NGO tidak mempunyai sebarang ikatan kepada mana-mana pihak politik yang mungkin mampu membataskan pergerakan mereka. NGO dilihat sebagai satu benih segar yang mampu membawa suara keluhan mereka.
Adalah satu kesilapan besar jika pemimpin-pemimpin dan parti politik memilih untuk mengambil mudah terhadap trend kebangkitan NGO dan suara rakyat yang ada kalanya disifatkan sebagai “deposit tetap”. Dalam iklim politik yang berkocak ini, tidak ada apa yang boleh disifatkan sebagai deposit tetap.
Mereka sebaliknya harus bangun daripada tidur yang lena itu dan membuka mata bahawa realiti politik semasa sudah berubah. Mereka perlulah bijak dalam bermain politik kerana kebijaksanaan rakyat dahulu dan sekarang sudah jauh berbeza.
Jika 30 atau 40 tahun yang lalu, parti-parti politik boleh berbangga dan mendabik dada mengatakan apa yang dicakapnya akan dipercayai bulat-bulat oleh pengundi. Namun seiring dengan ledakan teknologi maklumat yang kian pesat, kini mereka perlu berfikir dua kali sebelum berkata apa-apa.
Yang pasti, segala kepalsuan dan kemungkaran akan dihukum oleh pengundi dan ini terbukti pada Pilihan Raya Umum 2008 lalu.
Justeru, apabila MCA, parti komponen kedua terbesar dalam Barisan Nasional (BN) baru-baru ini mengeluarkan kenyataan bahawa seteru politiknya dalam parti pembangkang secara tidak langsung telah mengheret masyarakat Tionghua untuk berperanan sebagai pihak penentang, ia hanya mengukuhkan pandangan bahawa parti itu semakin terdesak untuk meraih sokongan.
Malah menurut Presidennya, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek, parti pembangkang berkenaan mempunyai kecenderungan untuk meletakkan calon-calon berbangsa Cina melawan parti Gerakan atau MCA sekali gus mengurangkan perwakilan Cina.
Soi Lek pernah juga berkata bahawa partinya tidak akan menerima sebarang jawatan dalam Kabinet akan datang sekiranya parti pimpinan beliau kalah teruk dalam PRU 13 kelak.
Pada permukaan, sudah tentu mesej Presiden MCA yang tegas itu dilihat sebagai sesuatu yang berani dan radikal. Soi Lek dan kepimpinannya akan dijulang sebagai kumpulan pemimpin yang berpegang pada bumi nyata dan bersedia menerima sebarang keputusan dengan hati terbuka.
Namun demikian, kecenderungan parti politik seperti MCA untuk mencabar seteru politiknya selain mengeluarkan kenyataan-kenyataan politik yang sinis hanya mencerminkan mereka tidak belajar daripada kesilapan silam.
Sekalipun seteru politiknya dalam pakatan pembangkang itu bukanlah sebaik manapun, MCA seharusnya tampil dengan satu imej baru, yang lebih segar dan yang mempamerkan iltizam mereka untuk berarah ke politik baru.
Sekadar menyalahkan seteru politik itu dalam memecah-belahkan sokongan pengundi Tionghua kepada kerajaan hanya mengukuhkan imej serta kekuatan seterunya itu. Ia juga secara tidak langsung bererti bahawa MCA mengiktiraf pendekatan yang digunapakai oleh seterunya itu sudah berjaya. Keghairahan untuk menyerang bertubi-tubi seteru politiknya hanya menyerlahkan kelemahan MCA serta kegagalannya dalam perjuangan mereka.
Semua sedia maklum bahawa tindakan oleh seteru politik MCA itu adalah percaturan taktikal. Adakah mereka tidak berhak berbuat demikian? Sudah tentu boleh. Dan MCA juga akan melakukan tindakan yang sama jika bijak mengambil peluang itu. Tidak salah MCA berbuat bising dan mendesak seteru politiknya itu untuk menyatakan pendirian mereka terhadap sesuatu isu berbangkit, namun biarlah berpada-pada.
Keghairahan untuk menyerang bertubi-tubi hingga mengabaikan moraliti politik mungkin akan memakan diri sendiri. Usahlah masyarakat Tionghua diberikan kata dua oleh parti politik seperti MCA bahawa komuniti itu berperanan sebagai pihak penentang disebabkan angkara seteru politiknya. Mereka tahu apa yang mereka lakukan dan keputusan tersebut wajar dihormati.
MCA harus menerima hakikat penangan komuniti itu kepada mereka adalah pilihan komuniti tersebut. Ketidakpuasan hati komuniti Tionghua kepada MCA pada PRU lepas adalah disebabkan kelemahan parti berkenaan. Masyarakat Tionghua tidak harus dipersalahkan mahupun diheret ke dalam politik kedua-dua parti ini. Biarlah kedua-dua parti ini menyelesaikan masalah mereka.
Sebuah parti politik yang penuh dengan sejarah seperti MCA tidak sepatutnya berasa gentar dengan kehadiran seteru politiknya yang jauh lebih muda daripadanya. Berbekalkan bilangan keanggotaan parti yang hampir mencecah 1 juta, aset parti yang banyak selain mempunyai jaringan akar-umbi yang terbesar di seluruh negara, sepatutnya ia tidak menjadi masalah.
Jika ini tidak menjadi masalah, beranikah MCA meletakkan calon-calonnya untuk bertanding di kawasan yang mana majoritinya adalah masyarakat Tionghua?
No comments:
Post a Comment