Tuesday, October 11, 2011

Pemimpin terdahulu beri asas kukuh PAS hari ini


JERIH PERIH perjuangan pemimpin PAS terdahulu telah memberi asas yang kukuh kemaraan parti Islam terbesar ini memimpin perubahan. Dasar tahaluf siasi yang diperkenalkan telah menjalankan kerjasama lebih erat antara PAS dengan partiparti bukan Islam seperti DAP dan KeADILan. Ikuti bicara ringkas Setiausaha Agung PAS, Dato’ Mustafa Ali, mengimbas kembali sejarah PAS sepanjang tempoh 60 tahun parti Islam ini menarah politik Malaysia. Wartawan INTAN ABDULLAH ada butirannya.


Apa beza PAS dahulu dengan sekarang ?
MUSTAFA ALI: Memang pada permulaan perjuangan PAS tumpuan sasaran lebih kepada umumnya masyarakat Melayu- Islam. Sejak daripada penubuhannya sampai kepada 1970- an dan awal 1980- an. Itulah asasnya.

Kemudian selepas itu, ada perubahan dengan penyertaan daripada masyarakat bukan Islam sampai sekarang. Ini adalah strategi PAS. Ia juga boleh berubah tetapi prinsipnya tetap kekal. Tetapi strategi untuk mendekati masyarakat bukan Islam ini telah bermula sejak 1980- an dan seterusnya melalui kerjasama pelbagai parti politik, seperti hari ini.

Ada peristiwa besar. Kerjasama politik dalam PAS bermula melalui masyarakat Cina iaitu Majlis Perundingan Cina atau CCC. Ini membolEhkan PAS menyampaikan dakwah kepada semua tanpa mengira kaum.

Pada peringkat awal, itu sesuai dengan keupayaan dan kemampuan pada ketika itu. Malah, kemudahan komunikasi juga kurang mengizinkan. Ini melambatkan maklumat tiba kepada sasaran.

Sekarang ini, imej PAS telah dikenali oleh semua masyarakat sama ada Islam ataupun bukan Islam. Itu secara ringkas dari segi perubahan imej PAS.

Bagaimana Dato’ melihat perkembangan politik PAS sepanjang 60 tahun ia bertahan, dalam menempatkan diri di kancah politik arus perdana?

Sememangnya dalam proses untuk menembusi tembok masyarakat bukan Islam ini, PAS telah bekerja keras. Islam adalah untuk semua.

Jadi, kerja-kerja ini dilakukan terus-menerus oleh pelbagai cabang dalam PAS termasuk ulama, pemuda, muslimat. Semuanya memainkan peranan masing-masing dalam menuju ke arah ini.

PAS telah menjadikan kepimpinan ulama sebagai teras kepemimpinan. Keyakinan masyarakat terhadap PAS kerana terbukti bahawa PAS sebagai sebuah gerakan Islam yang merangkumi politik dan dakwah.

PAS dilihat mempunyai integriti yang tinggi dalam mengetengahkan dirinya ke tengahtengah masyarakat.

Dari segi politik, jelas bahawa kalau soal integriti calon, wakil rakyat itu sangat terserlah dilihat oleh masyarakat.

Ini menimbulkan keyakinan mereka, tetapi dalam masa yang sama memang PAS menerima pelbagai tuduhan fitnah yang bermacam-macam.

Kalau masa dulu, tuduhan yang paling besar datang dari Umno. Sejak dari dulu Umno tuduh PAS ini macam (parti) komunis, ia bukan baru. Bahkan sudah lama iaitu daripada tahun 1960-an. Dalam penubuhan negara Malaysia, PAS ada pandangannya yang tersendiri dalam isu ini dan pada ketika itu PAS telah dituduh apabila tidak mempunyai pandangan yang sama dengan Umno.

Yang paling mudah, Umno tuduh PAS sama ada komunis atau ekstremis. Tetapi kita telah melalui segala cabaran itu dan pada waktu ini masyarakat tidak melihat PAS sebagaimana yang dituduh Umno itu.

Mutakhir ini, rakyat melihat kematangan PAS berdepan dengan isu-isu sensitif, isu teknikal dan isu kenegaraan. Apakah sikap PAS dalam situasi ini?

Kita berpegang kepada prinsip perjuangan Islam yang tidak terikat dan terbatas kepada soal perkauman.

Oleh kerana itu, apapun isu yang kita hadapi garis panduan dan asas penilaian kita ialah Islam.

Walaupun isu-isu itu merupakan isu mengenai agama sekalipun, kita melihat dari sudut Islam. Ini kerana Islam ada nilai toleransinya terhadap kepelbagaian budaya, agama dan yang seumpamanya. Oleh itu, apabila kita berpegang kepada prinsip Islam, walaupun mungkin orang lain tidak sama atau tidak suka dengan kita tetapi kita tetap berpegang dengan prinsip itu yang dilihat merentasi soal-soal kaum dan juga perkara-perkara yang sensitif.

Apakah kerana asas ini, PAS dilihat bukan parti perkauman?

Sebab itu kita dilihat pada waktu ini bukan sebuah parti yang berdasarkan kepada kaum. Dalam senarai keahlian PAS, ada pelbagai kaum seperti Cina, India dan sebagainya.

Tetapi kita telah tetapkan oleh kerana dasar kita adalah Islam, maka strategi kita yang mahu mengembangkan parti, maka penyertaan orang bukan Islam amat diperlukan. PAS telah menubuhkan Dewan Himpunan Penyokong PAS beberapa tahun lepas. Ini akan menambahkan lagi saluran-saluran yang boleh mendekatkan kita dengan masyarakat bukan Islam.

Melihat kepada kepercayaan Pakatan Rakyat kepada PAS, boleh ceritakan kejayaan parti sepanjang tempoh ini?

Biasanya kita lihat penilaian kejayaan dari sudut politik itu ialah dengan kemenangan dalam pilihan raya. Itu salah satu ukuran yang digunakan untuk mengukur kejayaan dari sudut politik.

Walaupun PAS ada turun naik dan kalahmenang dalam pilihan raya sejak dua dekad yang lalu, perubahan ini terlalu ketara bahawa dengan tahaluf siyasi yakni salah satu strategi yang dibuat PAS di samping mendekatkan PAS dengan masyarakat bukan Islam.

Kita telah bekerjasama dengan parti yang bukan berteras kepada satu kaum sahaja seperti KeADILan dan DAP. Dan buat pertama kalinya dalam sejarah negara pada pilihan raya umum lalu, Pakatan Rakyat telah menafikan dua pertiga majoriti parlimen yang diperolehi kerajaan yang dahulunya dikenali Perikatan dan kini BN.

Masa yang akan datang ini, bukan satu hal yang mustahil bahawa kita akan berdepan dengan satu pertarungan yang sangat sengit dengan BN.

Samada BN menang atau Pakatan Rakyat menang, itu bergantung kepada beberapa faktor yang akan kita lihat nanti.

Apa saat paling getir yang dihadapi PAS dalam tempoh 60 tahun ini, yang harus diingati oleh setiap ahli dalam parti?

Saya rasa kalau hendak dianggap tribulasi dalam perjuangan mungkin mutakhir ini tidak sebegitu berat seperti suatu ketika dahulu.

Antara detik-detik yang kita hadapi dalam tribulasi politik ini dalam tahun 1960-an kerana pada ketika itu boleh dikatakan kekuatan asas negara ini adalah Melayu-Islam maka dua parti terbesar ketika itu iaitu Umno dan PAS hebat bersaing.

Tetapi Umno menggunakan taktik yang sangat kotor dengan menggunakan pemuda tahan lasak - memperlakukan tindakantindakan yang bersifat fizikal. Mereka ini menahan, memukul dan pelbagai lagi.

Misalnya dalam sebuah kampung akan diadakan ceramah dan perlu melalui sebuah jambatan maka ia akan diruntuhkan supaya kita tidak boleh lalu di situ.

Dahulu kalau hendak masuk ke kawasan Felda yang dijaga oleh BN, mereka akan gunakan kekuatan pemuda-pemuda ini untuk tidak membenarkan orang masuk, kalau tidak maka akan berlaku pergaduhan.

Namun, sedikit demi sedikit perubahan itu berlaku. Kawasan Felda merupakan kawasan yang dikawal ketat oleh BN seperti kawasan larangan. Tetapi sekarang ini semua sudah berubah.

Walaupun mereka masih kuat dalam Felda tetapi semua Felda kita sudah boleh masuk.

Dahulu ianya dikawal oleh pelbagai peraturan seperti rumah orang Felda tidak boleh diadakan ceramah dengan keberanian orang pada ketika itu terbatas ditambah dengan pelbagai ugutan dan tindakan kasar yang dibuat.

Bukankah ISA dahulu digunakan untuk menyekat PAS?

Dahulu parti politik yang selalau ditangkap ISA adalah PAS. Sejak tahun 1960-an, terus menerus PAS yang paling awal menghadapi tekanan ini.

Tetapi pengalaman seperti ini memberikan kekuatan kepada PAS. Dari segi kefahaman bahawa mereka kena menghadapi tekanan seperti ini dan kita telah melalui proses itu.

Kepada yang tidak berpeluang menghadapi keadaan masa lalu, mereka perlu faham bahawa perjuangan dahulu jauh lebih sukar dengan keadaan sekarang.

Kita tidak lagi menghadapi kesukaran seperti mana yang dihadapi suatu ketika dahulu. Jadi, kita perlu mengenang hasil perjuangan mereka yang terdahulu telah memberikan asas yang kukuh kepada perjuangan kita sekarang ini.

No comments:

Post a Comment