
Ancaman terhadap umat Islam di Malaysia bukannya murtad, gay atau kehilangan kuasa. Sebenarnya ancaman terhadap umat Islam ialah rasuah, dadah dan kemalasan.
Tetapi umat Islam lebih sensitif dan takut pada murtad, gay dan kehilangan kuasa. Sementara kita merasakan rasuah, dadah dan kemalasan adalah perkara yang boleh diterima.
Sebaliknya rasuah juga adalah pengkhianatan yang apabila berlaku secara meluas dan menjadi budaya, tidak ada apa yang dapat mempertahankan umat Islam.
Begitu juga dengan gay. Umat Islam berasa sensitif terhadapnya kerana antara sebab ia terkandung dalam larangan yang pengajarannya datang daripada kisah Nabi Lot AS.
Tetapi hakikat depan mata ialah banyak kerosakan berlaku di kalangan umat Islam di negara ini berpunca daripada dadah yang kemudian melarat kepada AIDS dan ragut.
Begitu pula dengan kebimbangan bahawa umat Islam akan kehilangan kuasa dan menganggap ia sebagai ancaman.
Sedangkan hakikatnya ialah dalam demokrasi, kuasa terletak pada tangan semua rakyatnya tanpa mengira anutan agamanya.
Sememangnya pihak majoriti akan menguasai Parlimen dan kerajaan tetapi sistem demokrasi memberi hak kepada minoriti juga.
Justeru kehilangan kuasa bukannya ancaman dalam negara demokrasi. Sebaliknya ancaman yang ada ialah kemalasan.
Apabila disebut kemalasan, maka ia mengundang sensitiviti kerana tiada hujah untuk mengaitkan umat Islam dengan sikap itu.
Tetapi dari pengalaman, dalam banyak bidang, umat Islam negara ini umumnya tidak serajin kaum-kaum bukan Islam.
Dan tidak keterlaluan untuk menyatakan bahawa sebab kemalasan inilah umat Islam kehilangan kuasa, dalam erti kata memegang tampuk kerajaan sebagai memiliki kuasa.
Kemalasan meliputi banyak sudut, baik dari segi malas berfikir, malas belajar dan akhirnya malas bekerja. Di bawah kemalasan ini adalah kelemahan semangat yang sepatutnya tidak wujud di kalangan umat Islam.
Apabila sudah berada pada tahap lemah baik dari segi iman, mahupun benda maka mudahlah gerakan pemurtadan menyelinap masuk.
Dalam keadaan lemah, maka masyarakat berasa buntu menghadapi fenomena gay yang mempunyai pemahamannya tersendiri.
Akhirnya soal murtad dan gay dijadikan isu untuk diperaatkan bagi menguasai minda umat Islam untuk terus mendokong sesuatu kumpulan politik penuh rasuah agar tidak kehilangan kuasa.
Untuk menyelamatkan umat Islam daripada bertambah terjerumus ke dalam masalah rasuah, dadah dan kemalasan, maka gerakan tajdid segar wajar dilancarkan.
Dalam jatuh dan bangun perjuangan, segala pemikiran, pernyataan dan pembentukan pandangan wajar dipusatkan bagi memerangi tiga ancaman itu sampai ia berjaya dipencilkan.
Dalam perjuangan ada istilah taubat dan istiqamah. Tetapi di mana letaknya nilai kerajinan dalam perjuangan Islam? Kerajinan terletak pada asas semangat.
No comments:
Post a Comment