Tuesday, November 1, 2011

Bersihkan Malaysia kibar bendera di CHOGM di Perth


Ketika Ketua-ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) bersidang di Perth bermula 28 Oktober lalu, sekumpulan rakyat Malaysia mengadakan perhimpunan aman di kawasan pusat perniagaan itu.

Bersihkan Malaysia (Perth) adalah antara 20 kumpulan yang dianjurkan oleh Rangkaian Bertindak CHOGM (CAN) yang mengambil peluang untuk menarik perhatian antarabangsa terhadap isu-isu yang membabitkan Komanwel.

Kira-kira 70 warga Malaysia mengambil bahagian dalam perhimpunan ini yang bertujuan menuntut reformasi pilihan raya di negara ini. Ia diketuai oleh ahli jawatankuasa pemandu BERSIH 2.0 Wong Chin Huat.

Peserta berkumpul di Forrest Place di Murray Street Mall dan berarak sepanjang bandar itu pada jam 11 pagi sebelum berhimpun di William Street.

Jurucakap CAN Alex Bainbridge memulakan ucapan dan diikuti oleh beberapa pemimpin masyarakat dan kumpulan-kumpulan yang mengambil bahagian, termasuk Wong.

"Saya ke mari untuk menyuarakan kebimbangan rakyat Malaysia kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) di hadapan sokongan saudara-mara Komanwel (kita), untuk mendapatkan sokongan (mereka) bagi membantu perjuangan kami," kata Wong.

Menurutnya Bersihkan Malaysia (Perth) membuat dua tuntutan - laksanakan reformasi pilihan raya sebelum pilihan raya umum ke-13 dan menggesa Najib menjemput Komanwel bagi menghantar pasukan pemerhati pilihan raya ke negara ini.

Sambil menyanyikan lagu kebangsaan dan lagu Rasa Sayang sepanjang perhimpunan tersebut, ia berjaya menarik perhatian rakyat Malaysia lain yang datang sebagai pelancong mahupun menghuni sekitar Perth.

Jordon, ahli jawatankuasa Bersihkan Malaysia (Perth) berkata kumpulan itu ditubuhkan sebagai menyokong perhimpunan perarakan BERSIH 2.0 di Kuala Lumpur pada 9 Julai lalu.

Dengan sumber yang terhad, beliau berkata, pihaknya bergelut untuk mendekati rakyat Malaysia di Perth supaya mereka tahu mengenai isu-isu yang berlaku di tanah air.

No comments:

Post a Comment