
BAGAIMANA agaknya muka Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak ketika menghadap muka sekalian Perdana Menteri Komanwel yang bersidang di Australia barubaru ini selepas terbitnya Laporan Audit Negara 2010?
Sekalian ketua kerajaan Komanwel itu tentu ada maklumat tentang Laporan Audit Negara yang lewat dikeluarkan dan baru dikeluarkan itu.
Sebelum ini kita didedah tentang dakwaan di mahkamah yang sedang membicarakan bekas Menteri Pengangkutan, Tun Ling Liong Sik yang dikatakan menipu kerajaannya membeli tanah di zon bebas Pelabuhan Klang dengan harga yang berlipat ganda hingga melibatkan duit kerajaan ratus-ratus juta.
Bekas pemimpin itu dikatakan dalam skandal itu menipu Perdana Menterinya Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Kabinet.
Kesnya sedang dibicarakan. Apa pun kita – rakyat dan negara – rasa malu, boleh Perdana Menteri ditipu.
Sekarang, dengan laporan Ketua Audit Negara itu, kita tidak tahu apa jenis Perdana Menteri yang ada hingga boleh membeli kuda yang tidak boleh digunakan dengan harga RM5.66 juta.
Yang diperlukan beberapa ekor kuda saja, yang dibeli sampai 23 ekor. Terlalu banyak. Hanya lima ekor saja yang boleh digunakan untuk berlumba. Sudahlah seekor kuda dengan harga yang berkali-kali ganda dari harga sepatutnya, dibeli sebanyak-banyak pula.
Hal ini boleh berlaku di bawah Perdana Menteri yang ada. Apakah Perdana Menteri tak tahu? Jika dia tahu tetapi dia setuju meluluskannya, maka dia dikira bahlul. Boleh ditipu. Atau dia tahu harga sebenar tetapi disetujuinya, maka dia sengaja hendak menipu.
Jika dia tidak tahu, tetapi berlaku hal serupa di bawah pentadbirannya, maka ini bererti Perdana Menteri boleh ditipu dan boleh diperbodoh. Perdana Menteri telah diperkuda. Itu kemungkinannya.
Tetapi yang berlaku bukan sekadar membeli kuda yang tak berguna saja. Boleh di bawah Perdana Menteri ini juga Jabatan Taman Laut membeli teropong binokular marin 29 kali tinggi daripada harga pasaran yang hanya bernilai RM1,940. Tetapi ia dibeli dengan harga RM56,350.
Pak Pandir pun tahu kerajaan sudah ditipu. Kalau Perdana Menteri tak sedar dia ditipu dan tak tahu dia ditipu, maka Pak Pandir lebih cerdik dan lebih celik daripadanya.
Komputer riba dan pencetak yang berharga RM3,428, telah dibeli dengan harga RM11,850. Beza harganya RM8,422. Harga yang diguna untuk satu pasang komputer mengikut pasaran, tambah sikit lagi boleh dapat empat pasang. Tetapi, kerajaan kita dapat satu pasang saja.
Dengan harga RM3,428 pembekal sudah membuat untung banyak, maka dengan harga RM11,850 pula tentulah keuntungannya lebih besar dari RM8,422.
Atas satu pasang komputer kerajaan terpaksa bayar lebih sebanyak RM8,422 maka bayang beban yang kerajaan terpaksa tanggung jika membeli 1,000 pasang komputer.
Siapa yang membuat untung dalam membekalkan komputer riba itu? Pembekalkah atau orang yang memesannya?
Jika pembekal yang mengaut untung-untung menjolok mata itu, maka sahlah pembekal telah menjadi penipu besar. Ia tidak tipu dan tidak mampu tipu pembeli biasa, tetapi ia mudah tipu pelanggan yang bernama kerajaan.
Kalau pembekal tidak dapat untung yang besar itu, maka orang yang memesannya yang membolotnya melalui subahat pembekal.
Jika pemesan itu sekadar pegawai logistik biasa, penipuannya itu tidak kebal. Setelah ada keterangan sedemikian dari Laporan Audit Negara, SPRM boleh menyisat pembekal bagaimana ia mengenakan harga yang begitu besar? Jika dia tidak menipu tetapi suruh menipu oleh pegawai yang memesan, maka SPRM boleh dapatkan si pemesan.
Kalau adalah angkara si pemesan, maka si pemesan boleh diperangkap dan dikenakan tindakan menipu kerajaan. Tiada sebarang masalah bagi SPRM untuk mencekupnya.
Biasa pemesan curang daripada orang biasa tidak membuat curang keterlaluan, kerana ia mudah disyaki dan boleh dikenakan tindakan.
Tetapi jika pemesan itu ada kekebalan. Nescaya SPRM tidak berani untuk berbuat apa-apa.
Biasanya yang membuat penipuan besar ini bukanlah pemesan kecil, tetapi ia angkara penipu besar yang ada kekebalan, yang SPRM dan Jabatan Peguam Negara tidak sanggup berbuat apa-apa.
Yang jadi penipu besar itu bukanlah orang-orang kecil yang ramai di jalanan Kuala Lumpur ini, tetapi adalah pembesar-pembesar negara.
Jika dia memesan kepal selam Perancis misalnya, harga pasarannya tidaklah besar sangat. Tetapi yang menjadikan ia besar yang bukan alang kepalang ialah pemesan tak setuju membeli mengikut harga pasaran tetapi yang lebih tinggi.
Pembekal nescaya diajar supaya menipu pemesan. Disuruhnya pembekal menipunya.
Orang percaya inilah yang terjadi dalam pembelian kapal selam Perancis dan pesawat pejuang Rusia untuk pertahanan negara yang katakan melibat jurujual Altantuya itu.
Urusan itu menyebabkan negara terpaksa menanggung lebihan harga atas kapal selam dan pesawat pejuang itu hampir setengah bilion ringgit. Demikian juga dalam urusan pemberian konsesi lebuh raya bertol. Konsesi itu seperti dinasihatkan supaya menindas pengguna lebuh raya tol.
Lima puluh tahun dulu saya terbaca tentang kerajaan Indonesia di bawah pemerintahan Sukarno memesan jentera untuk pembangunan negaranya. Akhirnya jentera yang dipesan itu telah sekian lama dibekalkan. Didapati ia adalah jentera berkarat yang tidak boleh digunakan. Tiada apa-apa tindakan dibuat atas kejadian itu.
Saya terasa cerita membeli kuda yang tidak boleh digunakan itu sama lah dengan kejadian pemerintahan Sukarno membeli jentera berkarat yang tidak dapat digunakan dulu.
Apabila laporan audit itu membongkar tentang pembelian kuda dan teropong yang tidak mengikut kaedah negara yang betul itu, maka terbuka jalan dan peluang bagi SPRM membuat penyiasatan.
Jika wujud pentadbiran yang telus, maka SPRM boleh mencari orang-orang yang terlibat dengan pembelian kuda itu dan siapa yang membekalkannya. Mereka boleh disiasat.
Semua yang dikisahkan itu tidak terlepas daripada adanya komplot menipu kerajaan dan negara. Secara umumnya negara kita telah ditipu bukanlah baru sekali ini, bahkan ia sudah memakan masa sepanjang kita merdeka.
Masa mula merdeka dulu, penipuannya sekadar mengambil sedikit komisyen. Tetapi sejak negara masuk ke alam pemerintahan penswastaan dan pengkorporatan, setiap orang memperniagakan kerajaan dan negara.
Maka hasilnya menipu kerajaan melalui pembelian kuda dan teropong tadi telah menjadi budaya.
Sahlah setiap Perdana Menteri membuka laluan kepada penipuan terhadap kerajaan, dan kerajaan pihak yang boleh ditipu bagi mendapatkan keuntungan dan kekayaan.
Yang saya sentuh tentang laporan audit itu baru sekadar beberapa pembelian mahal, bukan kerana barang itu mahal tetapi kita suruh ia dimahalkan. Ia dibeli bukan dengan duit mak bapak kita tetapi duit kerajaan.
Saya belum sentuh komennya tentang keburukan dan kelemahan kerajaan. Apabila kita baca semuanya, kita rasa malu untuk menjadi orang merdeka dan malu untuk menjadi orang Melayu. Terasa sangat rakyat dan negara boleh diperbodoh, boleh ditipu. Rakyat itu bukan sekadar mudah ditipu tetapi suka jadi orang ditipu.
Tidak banyak yang baik tentang kerajaan. Kebanyakan isi audit itu adalah cerita duka dan tragedi buat rakyat, kerajaan dan negara. Mungkin kita tidak seburuk Zimbabwe.
Maka seronok kita itu kerana Zimbabwe lebih teruk daripada kita. Itu sajakah kebanggaan kita?
No comments:
Post a Comment