
Oleh TUAN GURU NIK ABDUL AZIZ NIK MAT
HASAN Al-Basri r.a. seorang ulama besar dikurniai Allah SWT ilmu mentadbir mimpi. Islam mengiktiraf kewujudan mimpi dengan prinsip; bahawa ‘Ar-Rukya juz-un minan Nubuwwah’ (mimpi - satu juzuk daripada kenabian).
Ada tiga tahap mimpi, antaranya disebut ‘ar-Rukya Shadiqah,’ inilah yang diiktiraf oleh Islam. Sementara dua lagi di sebut ‘ahlam’ dan juga ‘adhghatsu ahlam’, keduaduanya ditolak oleh Islam.
Apabila Allah SWT hendak memberi tahu sesuatu kepada manusia, maka dikirimnya malaikat Jibril menemui Nabi s.a.w. bagi menyampaikan sesuatu berbentuk wahyu.
Namun setelah Nabi s.a.w. wafat, tiada lagi wahyu yang hendak dibawa oleh malaikat Jibril. Dengan kasih sayang Allah SWT yang mengurniakan kebaikan kepada manusia, maka disampaikan perkara itu melalui mimpi yang benar.
Ada kalanya Allah SWT kurniakan mimpi secara langsung, misalnya hendak memberi tahu sesuatu bahaya yang akan menimpa.
Tetapi ada ketikanya melalui isyarat yang memerlukan kepakaran orang tertentu mentadbirnya, Hasan Al-Basri dikurniai Allah SWT ilmu untuk mentadbir mimpi.
Diriwayatkan, bahawa seorang wanita menemui Hasan Al-Basri menanyakan erti mimipi.
Wanita itu menceritakan bahawa beliau mimpi berzina dengan orang ramai.
Hasan Al-Basri meragui kenyataan wanita tersebut, lalu beliau minta penjelasan siapakah sebenarnya yang bermimpi?
Akhirnya wanita itu berterus terang; bahawa dirinya hanya orang suruhan kepada isteri Harun Ar-Rasyid yang ingin tahu erti mimpinya yang aneh itu.
Isteri Harun Ar-Rasyid malu untuk bertanya sendiri mengenai mimpi berzina itu, justeru itu beliau telah menyuruh pembantunya untuk bertanyakan hal tersebut.
Setelah Hasan Al-Basri yakin bahawa yang bermimpi itu isteri Harun Ar-Rasyid, beliau menerangkan maksud mimpi tersebut.
Kata Hasan Al-Basri: “Suatu masa kelak, beliau (isteri Harun Ar-Rasyid) akan bina suatu untuk kemudahan orang ramai.”
Ketika isteri Harun Ar- Rasyid bermimpi, beliau sedang merancang untuk membina telaga air ‘Zabidah’ bagi kegunaan orang ramai, khususnya Muslimin yang menunaikan fardu haji.
Dalam perkara mengajar ilmu, Hasan Al-Basri berkata: “Kalaulah tidak kerana jasa ulama, nescaya tiada bezanya antara manusia dengan haiwan ternakan.”
Haiwan mempunyai tabii seperti makan minum, tidur dan hubungan kelamin. Manusia juga melakukan kesemua itu atas keperluan hidup dan dorongan naluri semula jadi.
Bezanya manusia boleh berfikir dan akal mereka mampu menerima nasihat para rasul dan ulama, hingga jadi makhluk berakhlak yang kenal batas halal dan haram.
Yang tidak menerima seruan ulama, khususnya golongan musyrikin dan munafikin, mereka tiada perasaan malu.
Hingga sanggup berada tanpa seurat benang di khalayak umum seperti yang dilakukan oleh pelancong asing di pulau pulau peranginan di negara ini.
Bagi mereka apa salahnya mendedah tubuh, ia sekadar menikmati kebebasan yang mereka dakwa menjadi sebahagian daripada hak asasi manusia.
Yang mengajar erti malu hanya agama Allah SWT yang di bawa oleh para rasul, disambung penyebarannya oleh para ulama.
Tanpa nasihat ulama pasti manusia tidak mempunyai perasaan malu, hingga boleh disamakan dengan haiwan yang tidak berakal itu.
Agama Islam mengajar: “Bahawa malu itu adalah sebahagian daripada (tuntutan) iman.”
Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Apabila manusia tiada perasaan malu, mereka akan melakukan apa jua kemahuannya.”
Sifat malu itu amat penting, terutamanya bagi wanita. Ia mampu menghalang perbuatan keji. Perasaan malu akan mencetuskan keimanan kepada Allah SWT dan hari pembalasan.
Orang yang imannya tipis mungkin hanya malu sesama manusia, tetapi bagi orang yang tebal imannya, mereka bukan saja malu sesama manusia, yang paling utama malu kepada Allah SWT dan takut kepada azab-Nya.
Ketika Nabi s.a.w. membawa turun fardu solat anugerah Allah SWT dalam peristiwa Isra mikraj. Solat fardu yang diterima Nabi s.a.w. sebanyak 50 waktu.
Nabi Musa a.s. menasihati Rasulullah s.a.w. agar menemui Allah SWT semula, mohon dikurangkan jumlah 50 waktu, kerana jumlah tersebut terlalu berat bagi umat Muhammad s.a.w.
No comments:
Post a Comment