
Sejak muktahir ini, Dewan Himpunan Penyokong PAS (DPPP) bagai dilanda badai. Namun, ia tidaklah seteruk yang disangka, malah ia sedang diperkasa sebagai dewan yang boleh berdiri dengan sendirinya bersama menjulang misi parti. Usaha ini sedang dilakukan oleh Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat.
Ikuti interbiu Pengarang Berita Harakah, TARMIZI MOHD JAM bersama Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat, Dr Mujahid Yusuf bagi merungkai pelbagai persepsi terhadap DHPP ini. Beliau adalah Ahli Parlimen PAS Parit Buntar.
Harakah: Setelah setahun lebih DHPP menjadi sayap parti bagaimana penilaian Dr. sebagai Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional yang telah membentuk dan melahirkan dewan bukan Islam ini?
DR MUJAHID YUSUF: DHPP melalui berbagai dugaan dan cabaran dalam membuktikan dirinya sebagai sebahagian daripada sayap penting parti, bermula dengan Kelab Penyokong PAS (KPP) hinggalah kepada menjadi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP).
Sayap baru PAS ini telah berusaha sedaya upaya untuk menjadi elemen yang penting bagi menggamit sokongan bukan Islam khususnya dan rakyat Malaysia umumnya. Penilaian saya selaku Pengerusi Lajnah ialah, DHPP boleh ditingkatkan lagi dan mampu melakukan lebih dari apa yang dicapainya hari ini.
Agak menarik kewujudan DHPP dalam PAS. Ini kerana bukan Islam diberi peluang untuk menyertai parti Islam dalam bentuk sayap parti. Apakah ia sesuatu yang mudah untuk dioperasikan dalam sebuah organisasi parti Islam seperti PAS? Memang menarik dan PAS berbangga kerana ia adalah antara satu-satunya parti Islam yang mempunyai sayap parti dari bukan Islam dan mempunyai legitimasi untuk bergerak dalam parti.
Semasa dalam kunjungan PAS ke luar negeri bertemu dengan Gerakan Islam, mereka amat tetarik dengan pendekatan PAS dalam hubungan dengan bukan Islam dan mereka mahu belajar pengalaman ini dari PAS.
Lagipun dalam suasana komposisi kaum di Malaysia amat wajarlah PAS mempunyai kaedahnya tersendiri untuk memecahkan tembok dengan bukan Islam. Walaupun demikian dari sudut praktikal organisasinya, ia bukanlah mudah seperti yang dijangka.
Maksudnya...
Begini, paling utama ialah proses penyesuaian budaya organisasi kerana PAS yang sudah kukoh identiti budayanya kini terpaksa menyesuaikan diri dengan kewujudan identiti baru yang mempunyai latarbelakangnya tersendiri.
Pertembungan budaya anggota DHPP dan budaya PAS yang tersedia ada menyebabkan sedikit masalah budaya termasuk budaya kaum masing-masing dan budaya cara bekerja. Proses penyesuaian ini memerlukan masa yang panjang namun saya yakin ia sedang berlaku ke arah yang lebih positif.
Kedua ialah masalah kepimpinan DHPP sendiri yang perlu menyerlahkan gerakerja yang lebih fokus dan teratur serta tertumpu kepada menghasilkan perkara asas seperti keahlian, pengkaderan dan penerangan.
Saya amat memahami, mungkin kerana sebelum ini Kelab Penyokong PAS banyak bergantung kepada Lajnah Perpaduan Nasional tetapi kini sebagai dewan mereka terpaksa berdikari dan mencari keupayaan sendiri untuk menjayakan aktiviti sendiri.
Ketiga, ialah sokongan dari organisasi PAS di peringkat Pusat, Negeri dan Kawasan masih lagi di tahap yang tidak memuaskan dan kerana itu DHPP kadang-kadang merasakan mereka tidak dilibatkan dalam membuat keputusan dan aktiviti parti.
Bagaimana kepimpinan PAS mengatasi semua masalah yang disebut itu? Sebenarnya ia bukanlah masalah tetapi lebih kepada cabaran buat DHPP. Alhamdulillah kita ada mekanisma melalui Lembaga Penasihat yang dipengerusikan oleh salah satu Naib Presiden iaitu YB Salehudin Ayob dan Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional sebagai anggota serta dua yang lain.
Lembaga Penasihat (LP) memantau semua permasalahan ini melalui nasihat dan pertemuan dengan kepimpinan DHPP. Bagi melonjakkan keberkesanan DHPP, satu program pengukuhan dicadangkan bagi mengatasi peningkatan DHPP.
Pendekatan ialah melalui penstrukturan semula DHPP, memperbaiki data keahlian, pengukohan kepimpinan dan meningkatkan keterlibatan DHPP dalam aktiviti parti. Alhamdulillah, Jabatan Pilihanraya Pusat (JPP) bersetuju bekerjasama dengan DHPP melalui koordinasi Lajnah Perpaduan untuk membantu dalam gerak kerja PRU di mana satu bengkel pilihanraya khas untuk DHPP telahpun diadakan pada 13hb baru baru ini.
Satu Perhimpunan DHPP turut dicadangkan diadakan pada 26 November ini bagi menggerakkan seluruh jentera DHPP ke arah persediaan pilihan raya umum akan datang. Cadangan-cadangan ini diharapkan dapat mengatasi permasalahan.
Bagaimana dengan calon, adakah DHPP akan meletakkan calonnya di bawah tiket PAS dalam PRU-13 akan datang?
Ramai yang tidak tahu bahawa salah satu tujuan DHPP ditubuhkan adalah untuk mencadangkan senarai nama calon dari DHPP untuk diambil kira oleh parti. Jadi persoalan calon memang disebut dalam aturan dan peraturan DHPP, seterusnya ialah satu keputusan penting yang diisytiharkan oleh Presiden PAS pada perasmian DHPP tahun 2010 ialah keputusan Majlis Syura yang menyatakan bahawa calon bukan Islam boleh bertanding atas tiket PAS dalam PRU.
Kedua dua faktor ini membuka jalan yang luas kepada pencalonan ahli DHPP dalam PRU akan datang. Soal siapa dan di mana serta berapa kerusi terpulang kepada PAS Pusat menetapkannya.
Sejauhmana persepsi rakan-rakan DAP dan KeADILan mengenai sayap baru parti ini? Maksud saya apakah mereka melihat DHPP sebagai pesaing kepada mencari keanggotaan parti?
Saya fikir ia bukan persoalan persaingan, ia lebih kepada DAP dan KeADILan memahami bahawa ini adalah inisiatif PAS untuk memecahkan tembok hubungan dengan bukan Islam yang selama ini terbina.
Saya kira DAP dan KeADILan faham bahawa ini adalah keutamaan parti dan setiap kita menghormati perkiraan parti masing masing. Sebab itu DAP atau KeADILan tidak boleh menganggap DHPP sebagai entiti lain tetapi adalah entiti PAS.
Bagaimana kedudukan Lajnah Perpaduan Nasional sekarang, adakah ia hanya tertumpu kepada DHPP sahaja?
Lajnah Perpaduan Nasional sebenarnya mempunyai berbagai bidang yang diperuntukkan untuknya, antara lain ialah NGO dan hubungan antara agama. Sebab itu, walaupun lajnah ini tetap menyelaras aktiviti DHPP, tetapi ia juga terus meneroka bidang NGO dan hubungan antara agama. Lajnah mempunyai hubungan yg rapat dengan kumpulan masyarakat sivil. Walaupun tidak semua isu kita menyokongnya tetapi kita cubauntuk mengadakan pautan dengan mereka.
Begitu juga isu hubungan antara agama di mana melalui Lajnah Perpaduan Nasional kita cuba membawa sikap PAS dalam hal hal yang kontraversial. Jadi lajnah ini sebenarnya mempunyai bidang tugas yang luas bagi memperkenalkan PAS kepada segmen masyarakat bukan Islam dan masyarakat sivil.
Kami mengharapkan Lajnah Perpaduan Nasional dapat menjadi lajnah yang terus menjayakan agenda parti khususnya menerangkan PAS kepada segmen masyarakat tertentu.
Terimakasih. Saya mengharapkan DHPP terus kukuh dan mempertingkatkan harapan ahli PAS khususnya dan rakyat secara umumnya.
No comments:
Post a Comment