
Ikuti wawancara wartawan AHMAD LUTFI OTHMAN dan SAIDAH HAIRAN dengan Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abdul Rani Osman, yang juga Adun Meru. Beliau seorang doktor perubatan, lulusan universiti Mesir, yang mudah didampingi dan gemar dengan kerja-kerja kebajikan. Dr Rani juga fasih berbahasa Arab dan sering menjadi imam serta membaca khutbah Jumaat.
HARAKAH: Umum mengetahui keghairahan melampau Umno untuk rampas Selangor daripada Pakatan Rakyat. Apakah tindakan PAS Selangor berdepan hal ini?
DR RANI: PAS bukan setakat parti politik Islam malah merupakan Harakah Islamiyah yang meliputi semua aspek, khususnya politik. Dalam sidang Dun Selangor, saya sentiasa tekankan hal kesyumulan Islam ini, malah mencabar Adun Umno agar tidak memisahkan agama, termasuk dengan ilmu-ilmu seperti matematik, apatah lagi soal mentadbir masyarakat dan negara.
Jika PAS tidak berpegang kepada al-Quran dan menafikan hubungan dengan Allah dalam aktivitinya, sudah lama kita tinggalkan PAS. Contohnya, jika PAS tubuhkan 10 cawangan, Umno boleh tubuh banyak lagi. Jika PAS ada Unit Amal, Umno ada FRU (ketawa). Jika Pakatan Rakyat boleh bagi RM100 kepada warga emas dalam program 'Jom Shopping', mungkin Umno boleh bagi RM300 seorang. Kita kena ingat perjuangan kita adalah perjuangan membantu agama Allah.
Soal ikrar Umno untuk mengambil balik Selangor, saya rasa ia tak akan menjadi. Mereka ketandusan isu untuk pengaruhi rakyat. Contohnya, dalam sidang Dun, setiap Adun kena bagi 10 soalan bertulis dan 10 soalan lisan. Ketua Pembangkang Umno, Dato' Satim Diman hanya hantar dua soalan lisan dan tiada soalan bertulis. Jelas, Umno tiada isu.
Wakil rakyat Umno-BN datang ke sidang Dun pun hanya hari pertama sahaja sampai petang. Hari kedua hingga hari keenam mereka datang sekejap, waktu pagi. Ini bermakna mereka tidak ada isu yang hendak dibangkitkan. Mereka hanya main isu di luar dewan. Dalam Dun, hereka hanya membuat tuduhan tidak berasas.
Masalahnya, mungkin apa yang kita bincangkan dalam sidang Dun, orang kampung tidak tahu. Sebab itu, Umno cuba putar-belit isu. Kita mesti perhebat usaha penerangan dan penjelasan keapda rakyat.
Umno Selangor juga diterajui Najib, maknanya disokong pelbagai sumber dan kemudahan. Dr yakin kita dapat pertahan Selangor?
Saya suka mengingatkan, apa yang penting dalam organisasi, kita kena bersatu. Jika kita berpecah maka mereka akan mudah mainkan isu. Saya mengambil peringatan daripada mantan Mursyidul Am Ikhwan Muslimin Mesir, Mehdi Akif -- apabila orang Islam tidak faham dengan Islam maka mereka akan berperang sesama sendiri.
Saya nampak Umno akan kecundang dalam PRU13 nanti, bukan saja di Selangor tapi juga di negeri lain. Kecuali mereka guna pendekatan kotor seperti masukkan ramai pengundi luar dalam daftar pemilih. Umno Selangor juga cukup takut jika kita buat pilihan raya berasingan dengan pusat. Ini kerana jika mereka buat penipuan, mereka tidak boleh buat dua kali.
Lebih penting, kita harus bersandar dengan pertolongan Allah serta kerja kuat berstrategi semua pihak. Di Meru, saya menang bukan kerana saya doktor. Saya dan doktor-doktor perubatan lain, seperti Dr Halimah Ali, Dr Ahmad Yunus, bukannya orang hebat. Jika kita hebat, kita semua boleh menang dalam pilihan raya 2004 tapi semuanya kalah waktu itu.
Kemenangan kita pada 2008 disebabkan gerak kerja bersepadu di antara petugas muslimat, muslimin dan unit Amal, seerta golongan ulama dengan doa mereka. Begitu juga dengan sikap terbuka rakyat. Dalam PAS, kita mesti selalu mengingati adanya pertolongan Allah SWT.
Kita masih diasak masalah penerangan yang tidak sampai ke akar umbi? Bagaimana pula dengan taktik kotor Umno yang kadangkala sukar dihidu? Biarpun rakyat bersama Pakatan, tapi jika daftar pemilih mudah dimanipulasi Umno, susah kita ...
Saya rasa Akta Perhimpunan Aman yang segera diluluskan baru-baru ini menunjukkan Umno dalam ketakutan terutama untuk berdepan suara rakyat. Begitu juga dengan isu kalimah Allah, kepala lembu, dan sebagainya ... semuanya menghentam Umno semula. Saya yakin, masyarakat bandar dan mereka yang terdedah maklumat, terutama melalui media baru dapat membuat pilihan tepat.
Kita kena tumpu kepada orang kampung, turun dekati mereka, santuni golongan tidak bernasib baik, pelbagaikan medium penerangan. Rakyat, termasuk di pelosok kampung mesti mengetahui dasar dan program baru kerajaan negeri. Aktivis akar umbi harus lipatgandakan usahakan.
Selain masyarakat luar bandar tidak terdedah dengan fakta dan maklumat yang benar, mungkin mereka juga mudah dikelirukan dengan propaganda Umno, terutama dalam menggambarkan isu-isu Melayu tidak diberikan keutamaan oleh kerajaan Pakatan Rakyat.
Gerakan Islam seluruh dunia hatta di Gaza menonjol disebabkan kerja-kerja kebajikan. Kita juga tidak harus ketinggalan. Saya mempraktikkannya di Meru. Misalnya apabila melawat sekolah, saya sediakan sumbangan RM100 dalam bentuk hamper. Saya belajar cara ini daripada wakil rakyat di Kelantan.
Kita membantu dengan ikhlas, mahu menyelesaikan masalah rakyat, merasai kesukaran hidup mereka. Program Jom Shopping Selangor amat bagus. Ini merupakan sentuhan pimpinan kepada rakyat. Tanda kita mengingati dan menghargai mereka. Sebab itu saya mencadangkan semua pimpinan dan calon kena turun padang. Pemimpin mesti disenangi rakyat. Usah ada jurang dengan mereka.
Bulan Disember ini saya buat pertandingan gasing. Ini permainan yang orang Jawa suka. Setiap kawasan boleh memilih pendekatan tersendiri untuk merapati akar umbi. Sebahagiannya tidak memerlukan peruntukan besar pun.
Dr dilantik menerajui PAS Selangor, sebuah negeri yang penting, terutama dalam mencorakkan landskap politik untuk seluruh tanahair. Bagaimana dengan tugas Dr sebagai pesuruhjaya itu?
Saya terkejut apabila dilantik. Ada usaha untuk melagakan saya dengan mantan Pesuruhjaya, Dato' Dr Hasan Ali, yang juga merupakan ikon saya. Mungkin daripada 10 perkara, beliau sudah lakukan lima, maka saya perlu melanjutkan baki yang lima lagi itu.
Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang lantik saya sebagai pesuruhjaya, bukan untuk saya memegang jawatan Exco Agama, apatah lagi Menteri Besar Selangor. Kita bekerja sebagai satu pasukan, dengan merujuk keputusan kepimpinan tertinggi. Saya beri amaran kepada ahli PAS yang kadang-kadang mengatakan saya bakal Menteri Besar Selangor. Janganlah tersasul macam itu sekali.
Tanggungjawab berat PAS adalah untuk mendapatkan sokongan majoriti masyarakat Melayu, terutama di kampung-kampung. Untuk itu, difahamkan PAS Selangor sudah melancarkan Semarak Hijau. Boleh Dr jelaskan keberkesanan program ini?
Kita sudah buat Semarak Hijau di tiga Dun tumpuan. Saya perhatikan, bila turun ke bawah, masih ramai lagi orang tidak tahu apa yang kita buat. Mungkin kita belum jalankan peranan dengan baik. Masa masih ada untuk perbetulkan kelemahan.
Semarak Hijau kita tumpu Dun-Dun di atas pagar sebagai sasaran pada PRU13 untuk capai kemenangan. Sasaran PAS Selangor adalah menang 15 Dun. Kita sudah pergi ke Dun Sabak Bernam, Templer dan Morib. Kita buat program dua hari mendekati rakyat di semua Dun terlibat.
Pimpinan dan wakil rakyat turun, sertai majlis tahlil, kuliah di surau dan masjid, jamuan bersama rakyat, dampingi anak mudah. Semarak hijau meninggalkan kesan yang amat baik. Program seperti ini mesti dilakukan berterusan. Jangan hanya mendekati rakyat menjelang pilihan raya.
Dalam Semarak Hijau kita juga tekankan daftar pemilih. Ia mesti dibersihkan. Kita mesti proaktif membuat bantahan terhadap pengundi yang dipindahkan Umno ke Selangor.
Dr berpuas hati peranan kita membersihkan daftar pemilih?
Alhamdulillah. Sudah tiga kali kita jumpa SPR dan banyak nama yang dicurigai telah dibuang. Kita buat sidang media dan tunjuk nama-nama yang dibantah. Pagi kita buat sidang media, petang nama itu sudah dibuang. Apa yang penting kita kena dedahkan dalam Harakah. Kalau kita bantah tapi tidak keluar dalam media, SPR tidak akan bertindak. Tapi masih banyak yang perlu kita lakukan.
Bagaimana dengan prestasi wakil rakyat atau ahli majlis PBT daripada PAS?
Terus terang saya katakan, bukan semua wakil rakyat dan ahli majlis menunaikan kerja dengan baik dan berkesan. Kita mesti cepat memperbaiki kelemahan dan kealpaan. Dengar segala kritikan dan rasa tidak puas hati orang ramai. Rakyat memerhatikan kita dan lebih penting semua itu adalah amanah yang mesti kita tunaikan sebaik mungkin.
Umno kecoh soal calon PRU13, macamana pula dengan PAS? Dulu mungkin tiada masalah, tetapi selepas menang tahun 2008, tidak mustahil PAS juga boleh dijangkiti penyakit yang menyerang Umno?
Memang ada sedikit sebanyak masalah. Saya merujuk kes-kes tertentu kepada orang lama yang berpengalaman, misalnya saya ada hubungi pimpinan Kelantan yang lebih terdedah lebih awal dengan karenah ini. Apa pun, formulanya berbeda menurut realiti setempat.
Apa yang dibuat Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat mungkin berbeza dengan kaedah di Terengganu ataupun Kedah. Sebagai contoh, dalam pemilihan Timbalan Pesuruhjaya Selangor, saya panggil pimpinan setiap kawasan. Siapa yang mereka hendak, sama juga dengan calon.
Suara di peringkat bawah juga mesti didengar dan diambil berat. Saya turun ke kawasan dan panggil ketua kawasan dan setiausaha, saya dengar sendiri apa masalah sebenar. Tentulah kita tidak mahu berlaku seperti Umno, ada cawangan tutup markas kerana tidak bersetuju dengan calon. Meletakkan calon adalah keputusan PAS Pusat.
Amanah kepimpinan ini berat dan akan dipersoalkan nanti. Rujuklah kepada sirah Nabi s.a.w. dan kehidupan sahabat-sahabat baginda ketika memikul amanah ini. PAS merupakan sebuah gerakan Islam yang dikenali seluruh dunia. Jagalah adab-adab dalam jamaah.
Janganlah ada di kalangan kita yang membantah keputusan syura, termasuk mengenai keputusan menjadi calon pilihan raya. Walaupun kita anggap salah tapi Allah reda dengan syura.
Siapa yang keluar PAS dan mencari jamaah lain macam PAS, memang tidak ada. Maka rugilah orang yang keluar dan berhenti daripada PAS.
Berhubung kenyataan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim, bahawa kemungkinan Selangor mengadakan pilihan raya berasingan, agaimana perdirian PAS?
PAS Selangor setuju. Pertama, kita dapat tunjukkan kehebatan Pakatan Rakyat dalam soal menjaga kepentingan rakyat. Kita hendak agihkan semua peruntukan kepada rakyat Selangor seperti dijanjikan dalam bajet. Umno memang cukup takut kalau kita buat pilihan raya berasingan.
Saya yakin Pakatan dapat kekalkan kemenangan. Dalam tinjauan rambang, kita tanya rakyat tentang pentadbiran kerajaan Selangor, mereka kata bagus. Kita edar risalah dan buat perbandingan mudah antara kerajaan BN dengan Pakatan, mereka cepat faham.
No comments:
Post a Comment