Monday, December 19, 2011

Mahasiswa bukan budak hingusan, Mahasiswa sudah keluar dari pemikiran Umno


KUALA LUMPUR, 19 Dis: “Saya ucapkan selamat berjuang, sabar dan tabah mendepani ujian buat seluruh mahasiswa yang berani dan benar,” kata Nasrudin Hassan. Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia itu berkata mahasiswa adalah agent of change dan ilmu yang mereka miliki meletakkan mereka sebagai intelek muda dan ia merupakan aset untuk berani, yakin dan bertanggungjawab dengan tindakan yang mereka ambil.


“Mereka bukan lagi budak hingusan yang boleh ditempelak, dipulas telinga dan ditampar, apa lagi untuk diludah,” ujarnya kepada Harakahdaily.
Menurutnya, mereka mampu bangkit membentuk gelombang third force yang berkesan ke arah membangkitkan ummah dari lena yang panjang lantas mencetus perubahan dan meletakkan negara selamat serta bebas dari anasir yang meruntuhkan peradaban seperti rasuah, pecah amanah, ketidaktelusan dan sebagainya.

Katanya, kerajaan sekali-kali tidak wajar mengkesampingkan tuntutan mereka apatah lagi memperkecilkan mereka.

“Saya lihat inilah masanya, mahasiswa menyusun kebangkitan lalu memposisikan diri mereka selayaknya, sesuai dengan ilmu dan semangat yang mereka miliki. Usah gentar berkelana di alam buana ini, menggalas cita-cita perjuangan,” ujarnya.

Tambahnya, tidak sekadar berjuang untuk membebaskan mahasiswa tetapi juga menggerak kesedaran serta kebangkitan rakyat.

Justeru, katanya Dewan Pemuda PAS Malaysia mengucapkan syabas kepada thaurah yang mula menampakkan rentak kebangkitan mahasiswa.

Kini, ujar beliau mereka mula melepaskan diri dari pasung puaka yang membelenggu leher mereka sejak sekian lama.

“Kami pastinya bangga dengan perkembangan ini.

“Menuntut ilmu biarlah seiring dengan semangat perjuangan. Jangan abaikan salah satu dari keduanya. Ilmu adalah senjata berkesan bagi perjuangan yang kita dukung,” tegasnya.

Beliau menambah, ada senjata tetapi tidak menghunusnya untuk perjuangan suci itu hanya memperlihatkan kita lemah.

“Demikian juga berjuang tanpa senjata (ilmu) membuatkan kita salah memilih hala tuju yang benar,” jelasnya.





Mahasiswa sudah keluar dari pemikiran Umno
Written by Mohd Sabri Said
TASEK GELUGOR, 19 Dis: “Syabas kepada semua mahasiswa kerana anda sudah matang daripada pemikiran pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) mengenai Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku)," kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng

Beliau menyatakan demikian ketika memulakan ucapan di perhimpunan Rapat Rakyat di Padang Awam, Taman Senangan, Butterworth semalam.

Beliau menggangap tindakan mahasiswa berkenaan menggambarkan mereka sudah berani ke hadapan memperjuangkan akta yang selama ini mencengkam perkembangan minda pelajar.

Katanya, selama ini pelajar tidak bebas bersuara sebaliknya dibekukan daripada memberikan pandangan dan kritikan yang membina kepada kerajaan yang memerintah.

Tindakan itu sambungnya, tidak melahirkan mahasiswa yang cerdik, progresif, matang, berdaya saing tetapi lebih menjurus kepada membentuk pelajar sebagai 'pak angguk' atau 'yes men' semata-mata.

Tambahnya, Pakatan Rakyat bangga dengan perkembangan terkini kebangkitan mahasiswa itu.

"Pakatan Rakyat rasa bangga tentang senario itu," jelasnya yang juga Setiausaha Agung DAP.

Kerajaan, ujarnya patut akur dengan memorandum yang dihantar oleh mahasiswa kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakama) yang meminta dimansuhkan Auku yang mencengkam pemikiran pelajar.

Lim yakin sekiranya mahasiswa diberikan kebebasan bersuara dan memberikan pandangan pasti Umno dan BN akan ketandusan sokongan khususnya daripada anak muda dalam pilihan raya umum nanti.

"Mungkin pilihan raya umum ke 13 ini petanda baik untuk Pakatan Rakyat menang besar. Kebangkitan mahasiswa adalah antara penyumbang yang tidak boleh dipandang enteng," tegasnya.

No comments:

Post a Comment