
TIDAK sampai sebulan dua parti Islam menang di dunia Arab, pertama ialah Parti Annahdhah di Tunisia, dan kedua, Parti Keadilan dan Pembangunan (PJD) di Maghribi. Tunisia dan Maghribi adalah dua negara Afrika Utara yang merupakan sebahagian daripada dunia Arab.
Negara lain di Afrika Utara ialah Algeria, Libya dan Mesir. Kebangkitan rakyat di dunia Arab yang sedang berlaku sekarang ini dimulakan di Tunisia yang kemudian merebak ke Mesir dan berlanjutan ke Libya, Yaman, Bahrain dan Syria. Jiran Tunisia ialah Libya dan Algeria. Tetapi kebangkitan di Libya hanya berlaku selepas Mesir. Tidak ada pula kebangkitan besar di Algeria.
Algeria pula berjirankan Maghribi. Kecuali beberapa kejadian tunjuk perasaan di Rabat, ibu kota Maghribi, tidak ada kebangkitan besar. Tunjuk perasaan di Maghribi selepas kebangkitan besar di Kaherah.
Oleh kerana Mesir dipandang sebagai negara ketua bagi dunia Arab, maka tidak hairanlah, kesannya juga meluas hingga sampai ke Maghribi.
Tetapi raja Maghribi, Muhammad V bertindak cepat dengan memperkenalkan perlembagaan baru bagi membolehkan parti politik mempunyai kuasa lebih besar apabila menjadi kerajaan. Sebelum ini, pilihan raya sudah pun diperkenalkan tetapi kerajaan yang dibentuk melalui pilihan raya mempunyai kuasa terhad berbanding raja.
Dalam pilihan raya sebelum ini, PJD turut mengambil bahagian dan hanya berada di tempat kedua di mana ia jadi pihak pembangkang. Dalam perlembagaan baru ini, raja masih berkuasa ke atas hal ehwal agama, pertahanan dan melantik para diplomat. Setelah diadakan pungutan suara, perlembagaan ini diterima pakai.
Hakikat bahawa nama PJD adalah sama dengan AKP, parti Islam Turki menunjukkan adanya fahaman politik serupa antara kedua-duanya. Dengan menggunakan nama keadilan dan pembangunan, maka PJD dan AKP tidak perlu menampilkan identiti Islam mereka walaupun mereka terdiri daripada aktivis haraki sebelum parti-parti itu ditubuhkan. Hanya dengan menegaskan identiti demokrasi sekular melalui nilai keadilan dan pembangunan, barulah mereka dapat diterima oleh pihak elit berkuasa, dan lebih penting lagi bagi Barat, khususnya Amerika Syarikat.
Gerakan Islam di Maghribi mula kelihatan pada tahuntahun 70-an sama seperti rakanrakan seperjuangan yang lain di dunia Islam. Seperti di negaranegara Arab lain, pengaruh Ikhwanul Muslimin Mesir turut sampai ke Maghribi tetapi Afrika Utara mempunyai tradisi tersendiri dari segi akar asal usul harakinya.
Sejarah Islam di Afrika Utara bermula dengan kedatangan Umaiyah yang kemudian memerintah sehingga di Andalusia, iaitu Sepanyol hari ini. Selepas kejatuhan Umaiyah, pelbagai gerakan yang mendirikan kerajaan-kerajaan tajdid muncul seperti Muwahidin dan Murabitun. Di sebalik gerakan-gerakan politik ini ialah tarikat-tarikat Sufi, antara yang terkenal ialah Darqawiah.
Gerakan Sufi inilah yang melahirkan sultan-sultan dan pejuang-pejuang kemerdekaan seperti Abdul Qadir di Algeria dan Umar Mukhtar di Libya. Penjajah yang membahagi-bahagikan Afrika Utara ialah Britain di Mesir, Itali di Libya, Perancis di Tunisia dan Algeria, serta Sepanyol di Maghribi.
Maghribi merdeka di bawah sistem beraja, begitu juga Libya dan Mesir. Sistem beraja ini menyebabkan negara itu mempunyai ciri agama, tidak seperti lain-lain republik Afrika Utara. Dalam latar politik inilah, gerakan Islam muncul di Maghribi yang sedikit demi sedikit memperoleh ruang kuasa hinggalah kemenangannya dalam pilihan raya tetapi dalam bentuk parti demokrasi sekular.
No comments:
Post a Comment