Wednesday, December 14, 2011

Muslimat PAS Ikon Wanita Kota


Oleh USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
KEHIDUPAN di dalam hiruk pikuk kesibukan kota raya kini banyak memerangkap kita pada suasana yang jauh daripada petunjuk Allah SWT.

Juga di dalam perlumbaan mencari kebahagiaan ini sering manusia kota raya digamit mengikut jejak langkah segolongan manusia yang memaparkan gaya hidup yang dianggap berjaya dan bahagia.Pada trend kini golongan ini digelar sebagai “ikon”.

Apakah maksud “ikon”?
Lafaz kata yang popular ini bermaksud tokoh, dicontohi, diikuti dalam segala hal. Ia bermaksud segolongan manusia yang menjadi contoh teladan kepada warga kota raya dalam semua aspek kehidupan. Trend ini juga amat terserlah dihadapi oleh golongan wanita yang saban hari dipaparkan dengan kepelbagaian “ikon” yang memukau dan mempersonakan.

PAS sebagai sebuah gerakan Islam yang menceburi bidang politik tidak boleh terasing daripada terlibat sama melahirkan ikonnya kepada masyarakat, terutama ikon bagi golongan wanita. Tetapi ikon PAS perlu berjaya memimpin masyarakat ke jalan yang diredai oleh Allah SWT.

Selama ini tokoh politik wanita kota raya didominasi oleh wanita-wanita BN dengan penguasaan media yang dimiliki oleh mereka. Tetapi melihat kepada keputusan pilihan raya yang lalu di kota raya Kuala Lumpur, kita dapati persepsi ini sudah berubah.

Ini kerana daripada 11 kerusi Parlimen yang ditandingi oleh Pakatan Rakyat, 10 kerusi telah dapat ditawan oleh Pakatan dan tiga daripadanya dimenangi oleh calon-calon wanita. Malah hanya satu kerusi yang dimenangi BN itu dibantu oleh kelebihan undi pos yang banyak memihak kepada calon mereka.Antara salah satu sebab kemenangan ini yang tidak boleh dinafikan ialah sumbangan tenaga muslimat yang bersungguh-sungguh dan berterusan.

Muslimat PAS khususnya dan wanita anggota Pakatan Rakyat amnya tidak ketinggalan dalam apa-apa program sekalipun.

Mahupun program besar yang melibatkan para peserta berdepan dengan tindakan dari anggota polis yang terkenal tidak memihak kepada rakyat awam.

Oleh itu dalam era Pakatan Rakyat sekarang PAS perlu melahirkan lebih ramai lagi ikon-ikon pada segenap bidang kehidupan tidak tertumpu kepada bidang politik sematamata.

Untuk benar-benar menjadi ikon, muslimat mestilah mempunyai garis panduan yang tidak boleh lari daripada panduan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Panduan tersebut tentunya merujuk kepada al-Quran dan sunnah baginda Rasulullah s.a.w.

Muslimat PAS sebagai ikon berbeza dengan wanita-wanita lain dianggap sebagai ikon. Ini kerana para muslimat mestilah benar-benar dapat menyelamatkan, mensejahtera dan membahagiakan dirinya dan wanita-wanita mencontohinya di dunia dan di akhirat.

Firman Allah pada surah al- Ahzab: ayat 21 yang bermaksud; “Sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang-orang yang sentiasa mengharapkan keredaan Allah dan (balasan baik) hari akhirat serta ia pula menyebut dan mengingati Allah sebanyakbanyaknya (dalam keadaan senang ataupun susah).”

Oleh itu muslimat mestilah merujuk kepada pengiktirafan Allah SWT terhadap contoh teladan unggul ini, tidak lain tidak bukan ialah Nabi Muhammad s.a.w. Selain itu muslimat juga perlu mengikuti jejak langkah manusia contoh sebagaimana yang telah disebut oleh Allah SWT di dalam surah popular al-Fatihah, ayat: 6-7 yang bermaksud:“Tunjukkanlah kami kepada jalan yang lurus; iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah beri nikmat ke atas mereka.”

Untuk memahami siapakah orang-orang yang dikategorikan oleh Allah SWT sebagai orangorang yang telah mendapat nikmat-Nya, kita melihat pula firman seterusnya di dalam surah an-Nisa, ayat: 69 yang bermaksud: “Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, maka merekalah akan (ditempatkan di syurga) bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah, iaitu para Nabi-Nabi, Siddiqin (orang-orang yang benar imannya zahir dan batin), orang-orang yang syahid dan orang-orang yang salih. Dan amat eloklah mereka itu menjadi teman baik.” Berdasarkan maksud ayat di atas, fahamlah kita bahawa mereka yang diiktiraf mendapat nikmat Allah SWT ternyata terdiri daripada empat golongan saja iaitu para Nabi-Nabi, Siddiqin, Syuhada dan Solihin.

Inilah 4 golongan manusia yang mesti menjadi contoh teladan kepada muslimat agar mereka benar-benar menjadi ikon yang menyelamatkan dan menyejukkan pandangan mata terhadap wanita-wanita yang lain.

Marilah kita hurai secara ringkas keempat-empat golongan ikon yang diiktiraf oleh Allah SWT ini.Muslimat PAS yang menjadi ikon kesejahteraan hidup ini perlu mengambil golongan ini sebagai ikutan kehidupan seharian.

Pertama: Para Nabi Nabi-Nabi adalah manusia biasa tetapi istimewanya mereka dilantik oleh Allah SWT. Mereka diutuskan untuk mengajak, mengajar, mendidik, memandu manusia ke jalan yang diredai Allah SWT. Firman-Nya di dalam surah ali-Imran, ayat: 161 yang bermaksud: “Dan tidaklah patut bagi seseorang nabi itu disangkakan berkhianat.” Firman-Nya lagi di dalam surah al-Anbia, ayat: 25 yang bermaksud: Dan kami tidak utuskan sebelummu (wahai Muhammad) seorang Rasul pun melainkan kami wahyukan kepadanya bahawa sesungguhnya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Allah, oleh itu beribadatlah kepada-Ku.”

Kedua: As-Siddiqin (orangorang yang benar imannya) Contoh insan yang dinobatkan sebagai as-Siddiqin ialah Sayidina Abu Bakar as-Siddiq, seorang sahabat Rasulullah s.a.w. dan khalifah pertama yang tersohor.

Beliau adalah seorang ikon, seorang hamba Allah yang cemerlang dalam semua aspek kehidupannya.

Allah SWT menceritakan ciri-ciri orang-orang as-siddiqin di dalam al-Quran pada surah al-Hujurat, ayat: 15 yang bermaksud:“Adapun orangorang yang beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah. Mereka itulah orang-orang as-siddiqun.”

No comments:

Post a Comment