Thursday, December 22, 2011

PERLU HORMATI PRINSIP PAS, ATAU PAS PERLU HORMATI PRINSIP PERIBADI ?


DR HASSAN ALI menyebut beliau mempunyai tiga prinsip yang PAS mesti menghormatinya iaitu prinsip Islam, Melayu dan Institusi Raja-Raja. Jika ketiga-tiga prinsip ini PAS tidak menghormatinya, beliau menyebut bahawa berkemungkinan bersedia untuk mengambil keputusan keluar dari PAS setelah berbincang dengan beberapa rakannya termasuk para-para Mufti.

Itulah hakikat yang boleh disimpulkan setelah membaca kenyataan beliau di SINI. Persoalan pertama, adakah selama ini PAS tidak menghormati ketiga-tiga prinsip yang beliau sebutkan itu? Dan, adakah Dr Hassan Ali juga menghormati prinsip di dalam PAS? Mudah kata, PAS kah yang perlu menghormati prinsip Dr Hassan Ali atau Dr Hassan Ali sebagai Jemaah PAS yang perlu mematuhi prinsip PAS? Ini mengelirukan.



Secara teorinya, ketiga-tiga prinsip Dr Hassan Ali itu amat baik tetapi ada prinsip yang hukumnya mutlak dan ada yang bersyarat. Prinsip Islam, sudah tentu hukumnya mutlak kerana Islam itu hukum tertinggi. Prinsip Melayu, ianya tidak mutlak kerana Melayu bukan Islam dan Islam juga bukan Melayu. Prinsip ketiga juga tidak mutlak kerana menghormati atau taat kepada Raja-Raja hanya sekiranya institusi itu taat kepada Allah dan Rasul. Di dalam Perlembagaan juga, Raja-Raja mesti tunduk kepada Perlembagaan yang digubal di dalam Dun atau Parlimen.

Di mana silapnya Dr Hassan Ali? Silapnya Dr Hassan Ali adalah kerana beliau menjauhkan diri dari Jemaahnya sendiri. Banyak keputusan yang dibuat oleh PAS seolah-olah tidak memberi erti kepada Dr Hassan Ali kerana kononnya beliau mempunyai prinsip Islamnya tersendiri. Pada ketika Kerajaan Negeri Selangor mempunyai masalah dengan perlantikan SUK, Datuk Khusrin dan masalah ini dikongsi juga oleh PAS, PKR dan DAP, berbeza pula dengan Dr Hassan Ali ketika itu. Pada waktu PAS dan PKR membuat keputusan tidak mahu terlibat di dalam perhimpunan anjuran NGO di Stadium Shah Alam yang kononnya untuk menangani masalah Murtad, tindakan ini tidak memberi erti pada DR Hassan Ali.

Pada waktu ramai di kalangan YB-YB PAS (kebanyakannya berilmu agama yang tinggi) merungut kerana setelah PR memerintah Selangor mereka tidak boleh membaca Khutbah atau bertazkirah di dalam masjid di seluruh negeri Selangor hanya kerana tiada Tauliah, Dr Hassan Ali menyokong JAIS di dalam perkara ini. Dr Hassan Ali menyertai perhimpunan menangani isu murtad di Stadium Shah Alam atas alasan amat sensitif dengan gejala murtad yang berleluasa, tetapi di dalam masa yang sama Bob Lokman diheret ke mahkamah kerana memberi tazkirah tanpa Tauliah. Di mana suara Dr Hassan Ali dan apakah tindakan beliau selantang seperti di dalam isu serbuan gereja?

Saya juga sebenarnya tidak bersetuju apabila Shaari Sungip, Ketua Penerangan PAS mendedahkan bahawa nama Dr Hassan Ali tidak tersenarai di dalam majoriti yang dipilih sebagai calon untuk bertanding di dalam PRU akan datang. Sepatutnya tidak perlu didedahkan kerana lihat sekarang, Dr Hassan Ali cuba kaitkan pendedahan tersebut dengan anugerah yang beliau terima dari Sultan Selangor. Kita tidak peduli samada beliau terima anugerah atau tidak, malahan kita tidak mahu berfikir atas sebab apa beliau menerima anugerah tersebut. Mungkin ada sebabnya beliau layak dan itu adalah rezekinya maka kita tidak boleh pertikaikan. Cuma, kita mahu tahu mengapa begitu sukar untuk Dr Hassan Ali menerima prinsip dan pendekatan PAS, tetapi di dalam masa yang sama beliau menuntut PAS menghormati prinsipnya?

Dr Hassan Ali patut memahami dan sedar bahawa Negeri Selangor walaupun diperintah oleh PR, tetapi kerajaan negeri diketuai oleh PKR bukan PAS. Justeru itu, kerjasama di antara PKR, PAS dan DAP perlu kepada pendekatan yang sudah tentu berbeza dengan negeri yang diketuai oleh PAS. Sedangkan, di Negeri Kedah yang diketuai oleh PAS sendiri pun berbeza pendekatannya dengan Negeri Kelantan yang juga diketuai oleh PAS. Sebab apa? Ini adalah kerana situasi di Kelantan dan Kedah mempunyai perbezaan khususnya dari segi polarisasi kaum yang memerlukan kaedah yang berbeza tetapi tetap menuju ke arah dasar dasar dan prinsip PAS. Apatah lagi negeri yang diketuai oleh PKR mahupun DAP.

Ada suara-suara sumbang terutamanya dari Umno yang sememangnya mengharapkan Dr Hassan Ali menyeberang kepada parti sekutu Apco itu mendakwa bahawa PKR dan DAP sebenarnya menjadi dalang kepada hilangnya sokongan ahli-ahli PAS kepada Dr Hassan Ali. Benarkah begitu? Jika begitu, mengapa MB Selagor dari PKR itu tidak melucutkan sahaja jawatan Exco Agama yang dipegang oleh Dr Hassan Ali sekarang? Jawapannya tidak samasekali. PKR dan DAP tidak memberi kesan kepada pengaruh Dr Hassan Ali. Sokongan kepada beliau ditentukan oleh ahli-ahli PAS sendiri terutamanya di Selangor setelah melihat sendiri gelagat Dr Hassan Ali selama ini. Igauan `rundingan dalam gelap' bersama Umno tahun 2008 mungkin sering menganggu tidor ahli-ahli PAS yang semakin meluat dengan Umno sekarang.

Pada saya, sekiranya Dr Hassan Ali mahu meninggalkan PAS hanya kerana PAS tidak menghormati prinsip beliau maka Dr Hassan Ali lebih layak untuk bertindak sedemikian. Ini adalah kerana jika semua ahli atau pemimpin PAS bersikap seperti beliau, sudah pasti PAS sudah lama berkubur. Mursyidul Am PAS sendiri pun tidak pernah berkata sedemikian. PAS wujud sehingga kini adalah kerana PAS tetap berpegang pada dasar Islamnya yang berijtihad di dalam keadaan yang memerlukan di samping ketaatan ahli kepada keputusan Jemaah.

No comments:

Post a Comment