Wednesday, January 18, 2012

DR AHMAD YUNUS DILANTIK EXCO KERAJAAN NEGERI SELANGOR

SHAH ALAM, 18 Jan: Dr Ahmad Yunus Hairi, Adun Sijangkang mengangkat sumpah sebagai Exco kerajaan negeri Selangor yang baru bagi menggantikan Datuk Dr Hasan Mohd Ali. Nama Dr Yunus telah diperkenankan oleh Sultan Selangor dan mengangkat sumpah di hadapan baginda Sultan hari ini. Beliau dijangka akan menyertai mesyuarat Exco pertamanya selepas mengangkat sumpah. Majlis Istiadat Pelantikan dan Angkat Sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor diadakan Bilik Singgahsana, Istana Bukit Kayangan, Shah Alam. Turut berada di majlis ini adalah Adun Meru Dr Abdul Rani Osman yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor dan pimpinan kerajaan negeri yang lain. Sebelum ini, Dr Ahmad Yunus adalah Pembantu Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Sumber Manusia yang Exconya adalah Dr Halimah Ali. Di bawah portfolio ini, Dr Ahmad Yunus banyak membantu Halimah dalam urusan Briged Amal, Gems dan lain-lain projek di bawah Exco ini. Dr Yunus juga menjaga urusan belia negeri Selangor yang portfolionya dipegang oleh Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim sendiri. Dalam PAS pula, Dr Ahmad Yunus adalah Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Langat, Selangor. Perlantikan Dr Ahmad Yunus dicadangkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Awang kepada Menteri Besar Selangor berdasarkan kouta kerusi ini adalah milik PAS. Dalam pilihan raya umum 2008 lalu, Dr Ahmad Yunus mengalahkan calon BN yang juga bekas Exco Selangor, Datuk Abdul Fatah Iskandar dengan majoriti 2,081 undi. Dalam pilihan raya umum 2004, Abdul Fatah mengalahkan Dr Ahmad Yunus di kerusi Dun yang sama. Dr Ahmad Yunus berperawakan lemah lembut namun tegas dan mengutamakan perkhidmatan kepada masyarakat. Semasa menjadi Pembantu Exco kepada Dr Halimah, beliau banyak melibatkan diri dalam pembangunan belia.

No comments:

Post a Comment