Tuesday, February 15, 2011

Manfaatkan Media Baharu Hadapi PRU Ke 13

Oleh: ZAMSHA
SAID Zahari bukanlah nama yang asing bagi pejuang kebebasan media. Bertahun-tahun beliau meringkuk dalam penjara kerana prinsipnya yang menentang pengaruh politik terhadap akhbar yang beliau menjadi pengamalnya pada suatu ketika dahulu. Kini muncul pula nama Hatta Wahari yang sedang menanti hukuman akibat pendiriannya yang sama seperti Said Zahari. Sememangnya tokoh-tokoh sebegini muncul pada setiap zaman dan satu perkara yang pasti mereka terpaksa membayar harga yang mahal demi mempertahankan prinsip masing-masing.

Dalam mana-mana pilihanraya, baik Pilihanraya Kecil (PRK) mahupun Pilihanraya Umum (PRU), parti-parti dalam Pakatan Rakyat (PR), bukan sahaja terpaksa berhadapan dengan jentera BN malahan terpaksa juga menahan asakan daripada seluruh alat dan perkakas milik kerajaan.

Di PRK Tenang misalnya, terdapat rasa tidak puas hati dalam kalangan petugas PR yang menyatakan mereka terpaksa berhadapan dengan beberapa agensi kerajaan yang mengangkut pengundi ke tempat pengundian secara berpilih. Selain agensi-agensi milik kerajaan yang dipulas dan diperas mengikut kehendak pemimpin BN, media pula dieksploitasi sepenuhnya untuk menyerang dan menabur apa yang dikatakan kelemahan dan keburukan PR.

Bayangkan setiap hari, rakyat disumbat dengan pelbagai informasi yang bersifat propaganda bagi mempengaruhi rakyat agar membenci pihak pembangkang. Ziauddin Sardar dalam bukunya Strategi Dunia Islam Abad ke-21 (1995) telah menyatakan “Memaksakan informasi dari atas ke komuniti-komuniti desa bukan sahaja tidak adil, tetapi juga merugikan”.

Media cetak yang dikuasai BN, sentiasa memainkan peranan yang sangat besar dalam menimbulkan rasa benci rakyat terhadap pihak pembangkang. Belum lagi dibelek isi kandungannya, tajuk utama di muka hadapan sudah dikesan bersifat provokatif yang keterlaluan dan dipercayai hanya disenangi oleh mereka yang karat pemikirannya. Maka tidak hairanlah graf jualan akhbar-akhbar ini menunjukkan kemerosotan yang ketara. Rakyat dewasa ini sudah mampu berfikir secara waras dan mereka tentunya berasa mual terus-menerus disogokkan dengan cerita-cerita basi yang sentiasa diberikan warna baharu demi untuk mengajak pembaca membenci pembangkang.

Selain daripada media cetak, media elektronik juga turut sama bersekongkol dalam memberikan liputan yang tidak adil dan bersifat berat sebelah. Segala etika kewartawanan yang diajar di universiti-universiti rupanya hanya layak menjadi penghuni bakul sampah. Tanah keras politik tidak mengizinkan mereka mengamalkan segala ilmu yang mereka pelajari. Misalnya, timbullah beberapa berita yang secara semborono memanipulasi angka. Ceramah atau demonstrasi yang dianjurkan pembangkang akan dikecilkan jumlahnya. 10,000 orang akan ditaip hanya 1,000 orang. Manakala berlainan pula dengan bilangan rakyat yang menghadiri majlis pihak di sana dikhabarkan. Bilangan yang hadir cuma 500 orang tetapi jumlah akan segera dinaikkan menjadi 5,000 orang. Begitulah angka disihir mengikut nafsu tuannya.

Bagi menghadapi segala asakan dan serangan yang bertalu-talu itu, PR tidak mempunyai jalan lain kecuali memanfaatkan sepenuhnya kemudahan yang tersedia dalam media baharu. Dengan peningkatan jumlah pengguna internet di seluruh negara dan jaringan internet yang semakin melebar, maka tidak syak lagi media baharu sewajarnya dikuasai oleh ahli politik, aktivis parti dan para penyokong untuk mewujudkan satu gelombang kesedaran dalam kalangan rakyat. Facebook, twitter, blogspot dan laman-laman berita online seperti Harakahdaily dan Malaysiakini perlu dimanfaat dan digerakkan sepenuhnya.

Rakyat seharusnya diberikan kesedaran tentang kebangkitan rakyat di Tunisia, Mesir dan beberapa negara Arab yang lain. Di Tunisia misalnya, facebook merupakan katalis terpenting yang digunakan oleh penentang Zine el-Abidine Ben Ali bagi menggerakan semangat rakyat bangkit ke jalan-jalanraya untuk menentang kezaliman. Cepat tersedar daripada peristiwa yang hal berlaku di Tunisia, regim Hosni Mubarak cepat-cepat memutuskan akses internet seterusnya menyukarkan komunikasi penentangan rakyat terhadapnya.

Dalam konteks politik Malaysia, sememangnya laman-laman blog politik bercambah di sana-sini. Terdapat blog yang cenderung kepada pihak pemerintah dan ada juga blog yang condong kepada pihak pembangkang. Laman-laman sebegini diakui pengaruhnya sewaktu kempen PRU yang ke-12 yang lalu . Para penulis blog dipercayai turut menyumbangkan peranan yang tidak kurang pentingnya dalam menghasilkan tsunami politik pada ketika itu.

Ekoran daripada itu, pihak pemerintah juga mulai menyedari peranan yang telah dimainkan oleh penulis-penulis blog, sehinggakan sebuah stesen televisyen pernah mengundang penulis blog berbicara tentang pelbagai isu dalam sebuah rancangan khusus tidak berapa lama dahulu. Perhatian parti-parti politik kepada penulis blog juga diterjemahkan melalui pertemuan demi pertemuan yang dianjurkan bersama para penulis tersebut. Pertemuan tersebut membuktikan betapa pengaruh blog-blog politik semakin diakui keberkesanannya baik oleh pihak pemerintah mahu pun pembangkang.

Sehubungan dengan itu rencana pihak pemerintah untuk menyekat kebebasan media baharu tidak lama lagi merupakan tindakan yang dilihat mengundur ke belakang ketika nama-nama seperti Bill Gates dan Mark Zuckerberg sentiasa meniti di bibir jutaan penduduk dunia.

No comments:

Post a Comment