Oleh: BayangDiAir
"Sejauh manakah khidmat masyarakat memberi impak yang positif kepada PAS? Berapakah jumlah pusat khidmat PAS yang ada di seluruh negara? Daripada jumlah itu, sudahkah ditinjau jumlah pusat khidmat yang hidup segan mati tak mahu? Bagaimanakah bentuk operasi, keperluan kos, tenaga kerja.
Ada manusia yang boleh dipegang dengan duit. Ada manusia yang boleh diikat dengan janji. Dan ada manusia yang boleh ditawan dengan budi. Antara ketiga-tiga itu, budilah wahana yang paling penting. Kata orang, hutang budi dibawa mati.
PAS tiada wang berjuta untuk ditaburkan bagi membeli hati rakyat. PAS tidak bermain dengan janji yang sukar ditunaikan. PAS hanya ada sumber manusia yang ikhlas berjuang demi agamanya. Sayangnya sumber ini tidak dieksploit oleh parti secara berskala dan berskima. Gerakan ini tidak mempunyai pelan strategik dan KPI Setiap peti undi atau cawangan hanya diberi kebebasan untuk merancang dan melaksanakan tanpa ada panduan dan pemantauan dari peringkat Pusat.
Sebenarnya antara faktor kejayaan gerakan Islam di Turki dan Mesir ialah pelaksanaan program khidmat masyarakatnya di bawah konsep gerakan berkebajikan. Agenda kristianisasi sendiri menjadikan kebajikan sebagai saluran untuk meraih penganut baru. Tuntasnya, gerakan-gerakan massa menjadikan kebajikan melalui khidmat masyarakat sebagai senjata untuk menawan hati manusia. Kemahiran memanipulasi hati manusia itu sendiri adalah satu jenis seni.
PAS memulakan khidmat masyarakat sejak berdekad yang lalu. Ideanya diciplak oleh UMNO/BN yang sedia menggempur dengan jentera kerajaan dan kekayaan materialnya. PAS melalui Unit Amalnya hanya menunjukkan kelibat dalam menolong mangsa banjir. Kenapa tunggu bencara alam sahaja baru terjun ke dalam masyarakat?
Sudah tiba masanya PAS malah Pakatan Rakyat merencanakan secara berskima program khidmat masyarakat yang dapat dijalankan secara lebih terancang. Kalau Pemuda boleh mencipta sukatan pelajaran Pasti yang lebih kompleks, sudah pasti Lujnah Kebajikan juga mampu menyediakan kertas kerja dan sukatan kerja yang tidaklah terlalu akademik sifatnya.
Idea dan pelaksanaan yang telah dilakukan oleh gerakan Islam seperti Hamas, Ikhwanul Muslimin dan Parti Islam yang berjaya di luar negara hendaklah dikongsi bersama. PAS sudah memiliki pusat khidmat. Pusat khidmat dan programnya tidak sepatutnya hanya bergerak atas inisiatif cawangan atau pemimpin yang komited sahaja.
Unit Amal PAS pula mampu memainkan peranan penting dalam menghulur bakti kepada masyarakat. Tenaga Unit Amal sewajarnya dieksploit secara berjadual. Mereka perlu dibantu dengan satu dana untuk bergerak dengan berkesan.
PAS mesti menjulangnya sebagaimana institusi Pasti yang sudah menampakkan impaknya yang baik dalam masyarakat. Kita kagum dengan kesungguhan ANAK yang diketuai oleh Saudara Mazlan Aliman. Begitu juga Cikgu Hussin Ismail yang mengangkat Yayasan Amal Malaysia. Penulis merasakan Pusat Khidmat dan Unit Amal perlu distruktur semula. Orang yang berjiwa dan berketerampilan seperti Mazlan Aliman dan Cikgu Hussin Ismail perlu menerajui Pusat Khidmat dan Unit Amal.
Biarlah masyarakat Melayu di gula-gulakan dengan janji palsu BN. Kita larutkan gula-gula itu dalam cairan budi. Kerana pesan moyang kita; hancur badan dikandung tanah, budi yang baik dikenang juga."
No comments:
Post a Comment