Thursday, October 13, 2011

Gerakan Politik Kiri Di Hulu Langat, 1946-1948

Oleh Dr. Mohamed Salleh Lamry**

Pendahuluan Mengikut versi sejarah arus perdana atau versi sejarah"rasmi", perjuangan untuk mencapai kemerdekaan di Malaysia biasanya dikatakan bermula dengan penubuhan UMNO dan penentangan terhadap gagasan Malayan_Union pada tahun 1946.

Setelah berjaya menghapuskan Malaya_ Union, UMNO bersama-sama dengan MCA dan MIC mengadakan perundingan dengan kerajaan Bristish untuk mendapatkan kemerdekaan, dan kemedekaan diserahkan kepada UMNO dan rakan-rakannya dalam keadaan aman damai pada tahun 1957. Tersirat dalam versi sejarah arus perdana ini seolah-olah UMNO-lah yang mempelopori perjuangan kemerdekaan.

Versi sejarah arus perdana ini sekurang-kurangnya salah dari dua segi. Pertama, salah dari segi tarikh permulaan perjuangan kemerdekaan. Perjuangan untuk mencapai kemerdekaan bukan bermula pada tahun 1946, tetapi jauh lebih awal daripada itu. Kalau penentangan pembesar Melayu seperti Datuk Maharajalela di Perak, Datuk Bahaman di Pahang dan Tok Janggut di Kelantan tidak kita masukkan dalam perbincangan ini, kita harus mengakui bahawa perjuangan untuk mencapai kemerdekaan sudah pun bermula selewat-lewatya pada tahun 1938, dengan penubuhan Kesatuan Melayu Muda (KMM), parti politik Melayu pertama yang berjuang untuk mencapai kemerdekaan.

Kedua, salah dari segi parti yang mempelopori atau yang terawal memperjuangkan kemerdekaan. Yang sebenarnya KMM-lah parti yang mempelopori perjuangan kemerdekaan; bukan UMNO dengan rakan-rakannya MCA dan MIC. Perjuangan KMM kemudian disambung oleh Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang ditubuhkan pada akhir tahun 1945. Dengan itu versi sejarah arus perdana ini seolah-olah tidak mengiktiraf peranan KMM dan PKMM, yang biasanya diistilahkan sebagai "gerakan kiri" dalam perjuangan kemerdekaan.

Oleh yang demikian, sebagai koreksi kepada versi sejarah arus perdana ini, sudah sampailah masanya kita memperkenalkan dan membincangkan peranan gerakan kiri pula dalam perjuangan kemerdekaan. Walaupun gerakan kiri bukan gerakan yang berjaya mendapatkan kemerdekaan, tetapi gerakan kiri ialah gerakan yang mempelopori dan ikut memainkan peranan dalam perjuangan kemerdekaan. Oleh itu peranan gerakan kiri juga wajar diberi pengiktirafan.

Kebangsaan Malaysia.

Gerakan politik kiri bukan saja wujud pada peringkat nasional atau peringkat negara Malaysia, tetapi juga pada peringkat tempatan (daerah dan kampung). Gerakan politik kiri pada peringkat nasional, sudah banyak dikaji dan dibincangkan (lihat misalnya Ramlah Adam 2004; Mohamed Salleh Lamry 2006). Oleh itu, sudahlah sampai masanya kita memberi tumpuan kepada gerakan politik kiri pada peringkat tempatan (daerah dan kampung) pula.

Sehubungan itu, makalah ini ingin meninjau gerakan politik kiri pada peringkat daerah Hulu Langat dan kampung Jenderam, iaitu daerah dan kampung di mana gerakan politik kiri yang aktif telah wujud antara tahun 1946 hingga 1948 dahulu.

Gerakan Politik Kiri di Hulu Langat

Ahmad Boestamam (1972: 78-79) ada mencatatkan dalam memoirnya, "Memang Ulu (Hulu ) Langat punya keistimewaan sepanjang yang berkaitan dengan gerakan kiri dulu. Bukan saja BATAS kuat di sana bahkan API, AWAS dan PKMM juga." Catatan Ahmad Boestamam ini menunjukkan bahawa gerakan politik kiri memang pernah muncul dan berkembang di Hulu Langat.

Berdasarkan pemerhatian, gerakan politik kiri dipercayai mudah muncul dan berkembang di Hulu Langat kerana beberapa faktor, yang antaranya adalah seperti di bawah ini.

Pertama, kedudukan daerah Hulu Langat yang agak hampir dengan Kuala Lumpur, pusat gerakan politik sejak sebelum perang dunia kedua lagi. Ini memudahkan pemimpin pusat gerakan kiri yang tinggal di Kuala Lumpur berkunjung ke Hulu Langat untuk mengembangkan pengaruh gerakan itu. Oleh itu, penduduk Hulu Langat mudah melibatkan diri dengan gerakan kiri sejak permulaannya lagi. Misalnya, pada tahun 1938, apabila KMM ditubuhkan, sudah ada penduduk Hulu Langat yang menyertainya. Salah seorang daripada mereka ialah Bakar Jali yang kemudiannya menjadi ketua PKMM kampung Jenderam (Mohd.Nor Mohd.Amin, 1977/78).

Kedua, penduduk daerah Hulu Langat umumnya terdiri daripada orang-orang keturunan Indonesia, seperti juga pemimpin utama gerakan kiri. Mereka umumnya masih mempunyai hubungan dengan keluarga mereka di Indonesia, dan berminat terhadap gerakan politik radikal seperti yang terdapat di Indonesia (Mohd.Nor Mohd. Amin 1977/78). Ini memudahkan mereka menyokong gerakan politik kiri, apabila pemimpin dari pusat, yang umumnya terdiri daripada orang-orang ketururan Indonesia datang ke Hulu Langat untuk mengembangkan pengaruh gerakan itu.

Ketiga, bagi sesetengah kampung, seperti kampung Jenderam yang penglibatan politik penduduknya akan dihuraikan di bawah ini, pengaruh Indonesia memang begitu jelas, dan merupakan faktor utama yang memungkinkan gerakan politik kiri berkembang di kampung itu. Kebetulan pengaruh dari Indonesia ini memang ditekankan oleh Stockwell (1979) sebagai salah satu faktor yang mempengaruhi perkembangan politik radikal Melayu (gerakan kiri Melayu) di Malaya antara tahun 1945-1948.

Keempat, di daerah Hulu Langat telah muncul beberapa orang pemimpin gerakan kiri yang aktif dan berkebolehan, yang namanya dinyatakan di bawah ini.

Kelima, yang tidak kurang pentingnya ialah Kajang, ibu daerah Hulu Langat, telah dijadikan ibu pejabat PKMM Selangor setelah berlaku perpecahan dalam PKMM antara kumpulan yang menyokong Dato' Onn dengan kumpulan yang menyokong Dr.Burhanuddin dalam isu penentangan terhadap Malayan_Union. Ibu pejabat PKMM Selangor itu terletak di No. 24, Main Street, Kajang (Mohd.Nor Mohd.Amin, 1977/78: 45)

Selepas itu, Kajang telah dipilih sebagai tempat kongres dan mesyuarat penting gerakan kiri. Misalnya, pada bulan Oktober 1946, kongres pertama AWAS dan BATAS Malaya telah diadakan di panggung wayang Sun, Kajang. Kongres AWAS itu mencatat sejarah, kerana dalam kongres itulah untuk pertama kalinya Kamarulzaman Teh, Ketua API Pahang yang juga seorang tokoh komunis Melayu di negeri itu, menyatakan secara terbuka bahawa ia berucap sebagai wakil PKM (Shamsiah Fakeh, 2004: 46; Mohamed Salleh Lamry, 2006: 108).

Pada tahun 1947 pula, ketika PKMM mengadakan kongresnya yang ketiga di Singapura, para perwakilan dari Zon Utara (Perlis, Kedah, dan Pulau Pinang) dan Zon Barat (Perak, Selangor dan Negeri Semblan) telah bertemu di Kajang untuk mengadakan mesyuarat persiapan bagi menghadiri kongres tersebut. Jaafar Husin (1989: 40) perwakilan dari Pahang yang turut sama singgah di Kajang mencatatkan, "Kongres di adakan di tingkat atas sebuah kedai mamak dan barangkalinya menjadi Pejabat Parti Bahagian Kajang".

Peranan Kajang sebagai Ibu Pejabat PKMM Selangor dan tempat kegiatan penting seperti mesyuarat dan kongres ini tentu ada pengaruhnya terhadap perkembangan gerakan politik kiri di daerah Hulu Langat.
Oleh yang demikian, mulai awal tahun 1946 di kampung-kampung yang ramai penduduknya dan mempunyai orang-orang yang berkebolehan untuk memainkan peranan sebagai pemimpin, lahirlah cawangan PKMM, API, AWAS dan BATAS. Walaupun kita tidak memperoleh senarai kampung yang mempunyai cawangan gerakan kiri, tetapi antara kampung yang mempunyai cawangan gerakan kiri yang kuat termasuklah Sungai Long, Bukit Raya, Sungai Serai dan Jenderam (temu ramah dengan Yahya Nasim, 25 Jun 2008).

Kemunculan cawangan PKMM, API, AWAS dan BATAS di daerah Hulu Langat boleh dikatakan seiring dengan kemunculan pemimpin-peinimpin yang aktif, yang menggerakkan organisasi tersebut. Di sini pun kita tidak mempunyai rekod yang lengkap tentang siapa mereka dan ciri-ciri mereka. Namun, kemudiannya ada beberapa orang pemimpin dari daerah Hulu Langat yang menduduki jawatan yang agak tinggi, bukan saja pada peringkat cawangan, tetapi juga pada peringkat kebangsaan dan negeri, dan kerana itu boleh diiktiraf sebagai pemimpin yang lebih penting.

Dari kalangan pemimpin PKMM, salah seorang pemimpin dari daerah Hulu
Langat yang menduduki jawatan penting ialah Yahya Nasim. Di samping menjadi Ketua PKMM Hulu Langat, dia juga menjadi Ketua PKMM Selangor dan menjadi Penolong Bendahari PKMM Pusat. Beberapa orang pemimpin PKMM dari Hulu Langat juga memegang jawatan pimpinan pada peringkat negeri Selangor, iaitu Bakar Jali (Ketua 2), Nawawi Haji Abdul Hamid (Setiausaha), Kassim Haji Sirat (Bendahari), Ustaz Yunus Yatimi (Badan Penerangan), Mustafa Yunus (Ahli Jawatankuasa) dan Sulaiman Pandita (Ahli Jawatan kuasa). &am p;am p;am p;am p;am p;nb sp; &am p;am p;am p;am p;am p;nb sp; &am p;am p;am p;am p;am p;nb sp;
Dari kalangan pemimpin API, yang paling terkemuka ialah Khidir Ibrahim. Dia menjadi Ketua API Hulu Langat, di samping menjadi salah seorang pemimpin API Selangor.

Bagi organisasi AWAS pula, salah seorang pemimpinnya yang terpenting ialah Aishah Haji Hussain yang berasal dari Hulu Langat dan pernah menjadi isteri Pak Sako (Ishak Haji Muhamad). Ia menjadi Ketua AWAS daerah Hulu Langat dan negeri Selangor dan Bendahari AWAS Malaya.

Sementara itu, beberapa orang pemimpin AWAS dari kampung Jenderam seperti Fatimah Haji Kassim, Rosnah Mein, Mariam Jaafar, Hindon Tahir dan Zaharah Kasim, juga merangkap jawatan AJK AWAS Selangor.

Mengenai BATAS, Ahmad Boestamam (1972: 78) menganggap bahawa daerah Hulu Langat ialah kubu BATAS yang terkuat di Selangor, dan ketuanya ialah Mohamad Sharif yang menjadi orang kanan kepada Musa Ahmad, ketua BATAS Malaya. Mungkin kerana ia berjambang, Yahya Nassim (temu ramah 25 Jun 2008) menggelarnya sebagai "Sharif Jambang".

Dalam tempoh kewujudannya yang agak singkat, dari tahun 1946 hingga 1948, mungkin tidak banyak aktiviti yang sempat dilakukan oleh cawangan PKMM, API, AWAS dan BATAS daerah Hulu Langat. Namun, beberapa akivitinya yang penting boleh disenaraikan seperti di bawah ini.

Pertama, menerima kedatangan pemimpin atau tokoh dari luar dan mendengar ceramah yang diberikan oleh pemimpin tersebut. Misalnya, pemimpin pusat seperti Dr.Burhanuddin, Ishak Haji Muhammad, Ahmad Boestamam, Wahi Anuar, Musa Ahmad, Abdullah C.D., Shamsiah Fakeh dan Zainab Mahmud dikatakan sering berkunjung ke kampung Jenderam, salah sebuah pusat gerakan kiri yang terkuat di daerah Hulu Langat. Kedatangan mereka disambut dengan kemesraan oleh penduduk kampung tersebut (Mohd.Nor Mohd.Amin, 1977/78: 48-49).

Kedua, mengadakan latihan ketenteraan untuk anggota API dan anggota PKMM serta AWAS yang terpilih. Sebagaimana yang dilaporkan oleh pusat perisikan British (Ramlah Adam, 2004: 224) di Hulu Langat terdapat sebuah pusat latihan ketenteraan API, selain daripada sebuah pusat lain di Singapura, dan pusat latihan tetap dan utama di Taboh Naning, Alor Gajah dan Tanjong Bidara, Melaka.

Berdasarkan pengalaman Aishah Haji Khatib, bekas Ketua AWAS Cawangan Bukit Raya yang diceritakannya kepada Aishah Ghani, Aishah Ghani (1992: 33) menceritakan dalam memoirnya bahawa orang yang menyertai latihan itu,

"... dibawa ke dalam hutan untuk menjalani latihan menggunakan senjata api dan menghadiri kursus-kursus sulit yang juga diadakan dalam hutan Sungai Long tidak berapa jauh dari Kampung Batu 10...Setelah berlatih selama dua minggu mereka balik semula ke kampung. Latihan-latihan itu berjalan berterusan dari semasa ke semasa."

Ketiga, mengadakan Kongres Tani secara besar-besaran di kampung Jenderam pada 28 Mei 1948, tiga minggu sebelum Undang-Undang Darurat diisytiharkan. Walaupun kongres ini tidak dinamakan kongres nasional, tetapi ia dihadiri oleh pemimpin gerakan kiri yang penting, seperti Dr.Burhanuddin, Abdullah C.D. dan Shamsiah Fakeh. Bersempena dengan kongres itu, satu perarakan BarisanTani yang mengandungi kira-kira 700 orang telah diadakan dari masjid kampung Jenderam selepas sembahyang Jumaat. Bendera "merah putih" dan "bendera rakyat" turut dikibarkan dalam perarakan itu.

Kongres Tani itu dikatakan bermula pada pukul tiga petang dan didahului oleh ucapan oleh beberapa orang wakil badan-badan progresif, termasuk Parti Buruh dan Pembantu Indonesia Merdeka (PIM). Kongres berakhir pada pukul lima petang. Pada sebelah malamnya telah diadakan pertunjukan sandiwara yang bertemakan semangat perjuangan oleh anggota PETA (Ikatan Pemuda Tanah Air) cawangan Jenderam (Mohd.Nor Mohd.Amin 1977/78: 49).

Apabila Undang-Undang Darurat diisytiharkan pada 20 Jun 1948, dan berikutan dengan itu parti-parti kiri diharamkan oleh kerajaan penjajah Inggeris, beberapa orang pemimpin dan anggota gerakan kiri dari daerah Hulu Langat telah menyertai perang gerila yang diterajui oleh PKM. Antara mereka termasuklah Khidir Ibrahim, Ketua API Hulu Langat yang terkorban di Hulu Selangor (Ahmad Boestamam 1972: 79) dan Aishah Haji Khatib, Ketua AWAS Bukit Raya, Hulu Langat, yang kisah perjuangannya diceritakan dengan panjang lebar oleh Aishah Ghani dalam memoirnya ( 1992: 32-35).

Bagaimanapun, berbanding dengan penduduk kampung lain, penduduk kampung Jenderamlah yang paling ramai menyertai perang gerila itu. Ini ditegaskan oleh Wikipedia (http: ms.wikipedia.org/wiki/sejarah_komunis-di Selangor) dengan kata-kata seperti berikut:

Kebanyakan pengganas komunis Melayu yang beroperasi di sempadan Selangor dan Negeri Sembilan datang dari pemuda Melayu Kampung Jenderam. Mereka ada pertalian persaudaraan atau berasal dengan tokoh komunis seperti Tan Malaka dari Sumatera, Indonesia.

Gerakan Politik Kiri di Kampung Jenderam

Gerakan politik kiri di kampung Jenderam menarik untuk dikaji dan difahami, kerana secara perbandingan, kampung Jenderam adalah salah satu pusat atau kubu gerakan politik kiri yang terkuat, bukan saja pada peringkat daerah Hulu Langat, tetapi juga pada peringkat negeri Selangor.
Sebagaimana yang dinyatakan di atas tadi, di samping beberapa faktor yang umum bagi seluruh daerah Hulu Langat, diperkirakan ada faktor khsusus yang mempengaruhi kemunculan dan perkembangan gerakan politik kiri di kampung Jenderam, iaitu pengaruh dari Indonesia. Pengaruh dari Indonesia ini boleh dilihat dalam empat perkara yang berikut:

Pertama, kampung Jenderam dibuka antara tahun 1909-1910 oleh orang-orang keturunan Minangkabau yang berasal dari kampung Beranang, Hulu Langat. Selepas itu orang-orang keturunan Minangkabau dari kampung lain di daerah Hulu Langat dan dari Minangkabau, Sumatera Barat turut berhijrah ke kampung itu, sehingga akhirnya lebih 90% penduduk kampung itu terdiri daripada orang-orang keturunan Minangkabau.

Sehingga Perang Dunia Kedua (1941-1945), penduduk kampung Jenderam masih mempunyai hubungan yang rapat dengan "alam Minangkabau" yang merupakan tempat asal ibu bapa mereka atau tempat asal mereka sendiri. Salah satu cara mereka mengekalkan hubungan itu adalah dengan berkunjung atau pulang ke Minangkabau. Satu cara lagi adalah dengan menghantar anak mereka belajar ke Minangkabau.

Kedua, pada tahun 1922 Haji Jalaluddin Ismail, seorang guru agama dari Minangkabau telah datang ke kampung Jenderam, lalu mendirikan sebuah sekolah agama yang diberi nama Madrasatul-Ubudiah.

Kedatangan beliau diikuti oleh beberapa orang guru agama lain dari Minangkabau. Haji Jalaluddin adalah seorang ulama "kaum Muda" yang dipengaruhi oleh gerakan pembaharuan agama di Timur Tengah. Jadi kadatangannya turut membawa fahaman kaum muda ke kampung itu.

Ketiga, bekas penuntut Madrasatul-Ubudiah ramai yang melanjutkan pelajaran ke sekolah agama terkenal di Minangkabau, seperti Sekolah-sekolah Diniah dan Thawalib. Sebahagian daripada mereka dilantik menjadi guru sekolah itu apabila balik ke kampung Jenderam, dan turut menyebarkan fahaman kaum muda di kalangan murid dan keluarga mereka. Dengan itu, fahaman kaum muda yang berasal dari Minangkabau itu akhirnya menjadi pegangan umum penduduk kampung Jenderam,

Keempat, anak penduduk kampung Jenderam yang belajar di Minangkabau bukan saja terdedah kepada cara pembelajaran yang baru, yang dikendalikan oleh ulama kaum muda, tetapi juga terlibat dengan gerakan politik. Misalnya pelajar yang belajar di Sekolah Thawalib terlibat dengan Parti Sarekat Islam yang berpusat di Jawa. Di samping itu, ada juga yang belajar politik secara khusus. Misalnya, Abu Bakar Jali yang kemudiannya menjadi Ketua PKMM Jenderam pernah mengikuti kursus politik yang dianjurkan oleh PERMI (Persatuan Mahasiswa Islam) yang mengadakan sekolah politik di Bukit Tinggi. Gurunya ialah Muchtar Lutfi, tokoh politik dari Minangkabau yang pernah belajar di Mesir (Mohd. Nor 1977/78: 38-39). Oleh itu, mereka telah terdedah kepada idea antikolonial, mempunyai pandangan dan pemikiran yang dinamis dan progresif, dan mudah menyokong gerakan politik yang berjuang untuk kemerdekaan di samping membawa fahaman kaum muda, apabila mereka kembali ke tanah air.

Oleh yang demikian, beberapa aspek gerakan politik kiri yang muncul di kampung Jenderam boleh dihuraikan dengan ringkas seperti di bawah ini.

Penglibatan dengan KMM

Gerakan politik kiri boleh dianggap bermula di kampung Jenderam tidak lama setelah KMM ditubuhkan pada tahun 1938 dengan penyertaan penduduk kampung Jenderam dalam organisasi itu. Bentuk penyertaan mereka yang utama adalah dengan menjadi ahli KMM. Meskipun jumlah mereka tidak dapat dipastikan, tetapi sebahagian anak penduduk kampung Jenderam yang pernah belajar di Minangkabau adalah antara orang yang menjadi ahli gerakan itu. Salah seorang daripada mereka ialah Bakar Jali yang dianggap sebagai Ketua KMM kampung Jenderam (Mohd.Nor Md.Amin 1977/78: 40).

Penglibatan dengan Pembantu Indonesia Merdeka (PIM) dan Revolusi Indonesia.

Selepas Indonesia mengisytiharkan kemerdekaannya pada 17 Ogos 1945, sebuah organisasi yang dinamakan PIM telah ditubuhkan di Malaya dengan tujuan untuk menyalurkan bantuan material ke Indonesia. Sebagai orang-orang yang bersemangat patriotik dan antikolonial, penduduk kampung Jenderam tidak mahu ketinggalan daripada memberi sumbangan kepada saudara mara mereka di Indonesia. Oleh itu, sebuah cawangan PIM telah ditubuhkan di kampung Jenderam dengan dipimpin oleh Abu Bakar Jali. Antara aktiviti yang mereka jalankan adalah memungut wang dan pakaian lama untuk dihantar ke Indonesia melalui ibu pejabat PIM di Kuala Lumpur.

Apabila revolusi Indonesia meletus tidak lama selepas itu, kira-kria 10 orang penduduk kampung Jenderam telah pergi ke Sumatera untuk berbakti kepada Indonesia yang masih mereka anggap sebagai "ibu pertiwi" mereka. Kepergian mereka dengan hanya menaiki sampan direstui dan dibiayai bersama oleh seluruh penduduk kampung Jenderam dan dianggap sebagai wakil seluruh penduduk kampung tersebut. Di Indonesia pada mulanya mereka menyertai pasukan tentera rakyat, kemudian diserapkan ke dalam Tentera Nasional Indonesia (TNI) yang ditubuhkan pada tahun 1946 (Mohd. Nor Mohd.Amin 1977/78: 41-42).

Penubuhan Cawangan PKMM dan Badan Gabungannya

Di samping memberi bantuan kepada saudara mara mereka di Indonesia dan melibatkan diri dengan revolusi Indonesia, penduduk kampung Jenderam tidak mahu mengasingkan diri dari gerakan politik di Malaya sendiri. Oleh itu, apabila PKMM ditubuhkan pada akhir tahun 1945, mereka dengan cepat melibatkan diri dengan gerakan itu. Dengan dipelopori oleh Bakar Jali dan beberapa orang kawannya yang pernah menjadi ahli KMM, sebuah cawangan PKMM telah dttubuhkan di kampung Jenderam pada awal tahun 1946.

Apabila badan gabungan PKMM, iaitu Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dan Barisan Tani Malaya (BATAS) ditubuhkan tidak lama selepas itu, penduduk kampung Jenderam juga tidak ketinggalan daripada melibatkan diri dengan semua gerakan itu. Ini bererti pada masa itu hampir seluruh penduduk kampung Jenderam, lelaki dan perempuan, telah melibatkan diri dalam perjuangan untuk mencapai kemerdekaan.

Bagaimanapun, menarik juga diperhatikan bahawa pada masa itu tidak ada kepimpinan yang berasingan bagi menerajui PKMM, API, dan BATAS kampung Jenderam. Sebaliknya, semua pemimpin PKMM merangkap sebagai pemimpin API dan BATAS. Barisan kepimpinan ketiga-tiga organisasi itu adalah seperti berikut:

Ketua 1: Bakar bin Jali
Setiausaha: Ustaz Haji Hashim

Ahli Jawatankuasa:
Osman bin Binu
Jani bin Sudin
Ustaz Talib Nor
Abdul Latif bin Arshad
Mohd.Sharif bin Jamek

Mengenai jawatankuasa AWAS kampung Jenderam pula, nama mereka adalah seperti berikut:

Ketua 1: Fatimah binti Haji Kassim
Setiausaha: Rosnah binti Mien
Bendahari: Mariam binti Jaafar

Ahli Jawatankuasa:
Zaharah binti Hamid
Hindon binti Tahir
Zaharah binti Kassim

Sebagaimana yang dinyatakan di atas, beberapa orang pemimpin dari kampung Jenderam, seperti Bakar Jali dan semua pemimpin AWAS bukan saja menjadi pemimpin pada peringkat kampung itu, tetapi juga pada peringkat negeri Selangor. Ini menunjukkan betapa pentingnya kedudukan dan peranan pemimpin gerakan kiri dari kampung Jenderam dan memang selaras dengan kedudukan kampung Jenderam sebagai salah sebuah kubu gerakan kiri di Selangor.

Penglibatan dalam Perang Gerila

Penglibatan penduduk kampung Jenderam dengan perang gerila yang diterajui oleh Parti Komunis Malaya (PKM) terhadap penjajah Inggeris wajar dihuraikan di sini, kerana ia merupakan satu episod penting dalam sejarah perjuangan penduduk kampung Jenderam, malah itulah satu cara yang terbuka bagi orang-orang nasionalis kiri untuk meneruskan perjuangan mencapai kemerdekaan.

Selepas Undang-Undang Darurat diisytiharkan pada 20 Jun 1948, kampung Jenderam sebagai salah sebuah pusat atau kubu gerakan nasionalis kiri menjadi tumpuan pihak polis yang bertindak menangkap orang-orang yang menjadi pemimpin dan aktivis gerakan itu. Oleh itu, sepanjang tahun 1948 dan awal 1949 ada 16 orang penduduk kampung Jenderam yang telah ditangkap, sama ada kerana tidak sempat melarikan diri atau tidak mahu berbuat demikian. Di samping itu, sekurang-kurangnya ada lima orang yang telah melarikan diri ke Indonesia dan tidak balik semula ke negara ini (Mohd.Nor 1977/78: 58-60).

Namun, mengikut maklumat yang diperolehi oleh Mohd. Nor Mohd.Amin (1977/1978:58-60), sekurang-kurangnya ada 18 orang penduduk kampung Jenderam yang lebih rela masuk ke hutan dan menggabungkan diri dengan tentera PKM daripada membiarkan diri mereka ditangkap dan dijadikan tahanan politik. Mereka ialah:

1. Bakar bin Jali
2. Azman bin Haji Nordin
3. Hamid bin Tahir
4. Yaakob bin Mohd.Ali
5. Alias bin Siu
6. Mohamd Akib bin Kassim
7. Manaf bin Pisah
8. Ismail bin Manan
9. Yunus bin Buyung
10. Ismail bin Mohd.Sharif
11. Mohd.Zain bin Haji Kassim
12. Tajuddin bin Mahat
13. Yunus bin Abu
14. Abdul Malik bin Kabut
15. Sulaiman bin Haji Said
16. Malik bin Haji Bor
17. Manan bin Abdul Latif
18. Karim bin Sulaiman

Golongan 18 orang ini tidak mahu ditangkap dan dijadikan tahanan politik, dan dengan itu perlu mencari alternatif untuk meneruskan perjuangan mereka. Dari awal lagi mereka sudah melihat bahawa perjuangan bersenjata adalah jalan yang perlu mereka tempuh untuk meneruskan perjuangan mereka. Timbulnya persepsi yang demikian sekurang-kurangnya kerana dua faktor utama. Pertama, semasa melibatkan diri dengan API, mereka telah diorientasikan untuk berjuang secara bersenjata berdasarkan slogan API, "Merdeka dengan Darah." Kedua, sebagai orang-orang yang masih merasa dekat dengan perjuangan kemerdekaan di Indonesia, mereka juga melihat bahawa perjuangan secara revolusi atau perjuangan bersenjata adalah satu cara perjuangan yang boleh dijadikan contoh.

Walau bagaimanapun, pada masa itu mereka sebenarnya dalam keadaan ketiadaan pimpinan dan arahan. API dan PETA telah diharamkan. Ahmad Boestamam, bekas pemimpin API telah ditahan, manakala Wahi Anuar bekas pemimpin PETA telah masuk ke hutan di Temerloh, Pahang. Pemimpin utama PKMM, kecuali penasihatnya Dr.Burhanuddin telah ditahan. Dr.Burhanuddin pula tidak membuat apa-apa hubungan lagi dengan mereka. Oleh itu, pada mulanya mereka hanya bersembunyi dan bergerak secara sulit di sekitar kampung mereka dan belum ada hubungan secara langsung dengan PKM. Aktiviti mereka juga terbatas kepada mengadakan pertemuan dan perbincangan sesama sendiri.

Namun, kira-kira tiga atau empat bulan kemudian, mereka telah dihubungi oleh utusan PKM yang mempelawa mereka supaya menyertai perang gerila yang dilancarkan oleh parti itu. Mereka menerima pelawaan PKM, kerana ketika itu hanya itulah jalan yang boleh mereka pilih jika mereka mahu meneruskan perjuangan mereka.

Orang yang mula-mula melibatkan diri dengan perang gerila anjuran PKM itu ialah Bakar bin Jali. Dia melibatkan diri dengan peperangan itu pada bulan September 1948, diikuti oleh kawan-kawannya yang lain pada bulan Oktober 1948.

Pada mulanya mereka bergerak sebagai satu seksyen"komunis Melayu" di kawasan Salak, daerah Sepang. Kemudian mereka dipindahkan ke Sungai Long, daerah Hulu Langat untuk bergabung dengan seksyen Melayu yang lain, dan membentuk satu platun Melayu (seramai 36 orang) bersama dengan orang-orang dari Sungai Long, Sungai Serai dan Hulu Langat.
Pada tahun 1949 mereka berundur ke kawasan Titi, Negeri Sembilan untuk mengikuti latihan ketenteraan dan taktik perang gerila selama kira-kira enam bulan. Selepas tamat latihan itu, mereka dipecah-pecahkan kepada unit dua atau tiga orang dan diserapkan ke dalam platun-platun lain. Dengan itu, tidak ada lagi platun khusus untuk orang Melayu. Sebahagian daripada mereka diarahkan beroperasi di kawasan utara Selangor, sementara sebahagian lagi di kawasan selatan Selangor, khasnya di daerah Sepang.

Penglibatan mereka dengan perang gerila yang dipimpin oleh PKM itu hanya berakhir apabila 11 orang daripada mereka gugur di medan perjuangan, seorang ditangkap dan dikenakan hukuman gantung dan enam orang lagi menyerah diri. Mereka yang gugur ialah:

1. Mohd.Akib bin Kassim
2. Ismail bin Manan
3. Yunus bin Buyung
4. Ismail bin Mohd.Sharif
5. Tajudin bin Mahat
6. Yunus bin Abu
7. Abdul Malik bin Kabut
8. Sulaiman bin Haji Said
9. Malik bin Haji Nor
10. Manan bin Abdul Latif
11. Mohd.Zain bin Haji Kassim

Yang tertangkap dan dihukum gantung ialah Manaf bin Pisah. Enam orang yang menyerah diri pula ialah:

1. Bakar bin Jali
2. Azman bin Nordin
3. Hamid bin Tahir
4. Yaakob bin Mohd.Ali
5. Alias bin Siu
6. Karim bin Sulaiman

Antara enam orang yang menyerah diri, Bakar Jali mungkin yang terawal berbuat demikian. Dia menyerah diri pada 18 Mac 1951, kerana kemnya dibom dari udara dan dia tidak dapat lagi melepaskan diri. Azman Haji Nordin pula mungkin yang terakhir menyerah diri. Dia menyerah diri pada tahun 1957, selepas lapan tahun bergerila, kerana katanya pada masa itu Malaya sudah pun merdeka.

Nasionalis atau Komunis?

Setelah meninjau penglibatan penduduk kampung Jenderam dan daerah Hulu Langat dalam perang gerila yang diterajui oleh PKM, kita tentunya wajar menjawab satu soalan yang penting, iaitu adakah mereka nasionalis ataupun komunis?

Selama ini mereka dituduh telah "masuk komunis" dan menjadi komunis kerana telah masuk ke hutan dan bergabung dengan pasukan bersenjata komunis (Tentera Pembebasan Nasional Malaya). Tuduhan ini memang sukar untuk dinafikan, kerana dengan menggabungkan diri dengan pasukan tentera PKM bermakna mereka berada di bawah arahan PKM, terikat dengan disiplin parti komunis dan sama ada secara langsung atau tidak telah terlibat dengan aktiviti keganasan yang dilancarkan oleh PKM.

Namun, dalam hal ini adalah wajar kita menyelidiki sikap dan pendirian mereka sendiri. Dalam pengakuannya kepada Mohd.Nor (1977/78: 77) Azman Haji Nordin, salah seorang daripada mereka menyatakan bahawa mereka bukan komunis, tetapi bergerila bersama-sama komunis untuk mencapai kemerdekaan. Pengakuan ini saya kira wajar dipertimbangkan. Dari pengakuan Azman Haji Nordin itu, kita mendapat maklumat bahawa mereka berjuang bersama-sama dengan komunis tidak lain daripada meneruskan perjuangan asal mereka, iaitu untuk mencapai kemerdekaan.
Akan tetapi, mereka tidak menganut ideologi komunis dan mungkin juga tidak menjadi ahli parti komunis. Oleh itu, pada hakikatnya mereka masih lagi merupakan orang-orang masionalis.

Dalam hal ini, kita patut juga mempertimbangkan keadaan mereka yang terdesak dan tersepit setelah Undang-Undang Darurat diisytiharkan pada Jun 1948. Mereka terpaksa membuat pilihan, sama ada membiarkan diri mereka ditangkap ataupun masuk ke hutan. Mereka memilih masuk ke hutan dan menggabungkan diri dengan PKM, kerana itu sahaja cara yang terbuka untuk meneruskan perjuangan mereka. Namun, selagi mereka belum menerima ideologi komunis dan belum menjadi ahli parti komunis, kita mungkin boleh menganggap bahawa mereka masih lagi nasionalis, dan bukan komunis. Dengan perkataan lain, mereka adalah nasionalis, tetapi telah dipaksa oleh keadaan untuk berjuang bersama-sama dengan komunis.

Dalam hubungan ini, penilaian yang agak adil dan saksama terhadap perjuangan mereka telah diberikan oleh seorang tokoh veteran UMNO, Tan Sri Abdul Samad Idris (almarhum) (1982:253) dengan kata-kata seperti berikut:

Pemberontakan yang dilakukan oleh orang Melayu di Jenderam, Selangor dan di Temerloh, Pahang serta lain-lain tempat di mana mereka telah menyekutukan diri dengan pengganas dalam hutan janganlah dianggap kerana fahaman komunis mereka yang tebal.

Dari penelitian sejarah amatlah jelas bahawa mereka adalah tokoh-tokoh kebangsaan Melayu yang tulin. Mereka memilih jalan hanya dengan pemberontakan saja untuk mencapai kemerdekaan. Hal ini diperkuatkan dengan cita-cita API pimpinan Ahmad Boestamam yang melaungkan slogan " Merdeka Dengan Darah."

Kesimpulan

Daerah Hulu Langat adalah satu kawasan dalam negeri Selangor di mana gerakan kiri Melayu pernah wujud antara tahun1946 hingga 1948 dahulu. Dengan sokongan orang-orang keturunan Indonesia di daerah itu, cawangan PKMM, API, AWAS, BATAS dan kemudiannya PETA telah wujud sebagai cawangan yang aktif. Hal ini ada kaitannya dengan kemunculan beberapa orang pemimpin yang berkebolehan, bukan saja pada peringkat daerah Hulu Langat, tetapi juga sebagai pemimpin pada peringkat nasional dan negeri Selangor.

Kampung Jenderam dalam daerah Hulu Langat pula adalah satu pusat atau kubu gerakan kiri yang terkuat pada peringkat negeri Selangor. Apa yang menarik ialah penduduk kampung itu telah menyertai perang gerila yang diterajui oleh PKM sebagai cara meneruskan perjuangan mereka setelah gerakan kiri itu diharamkan oleh penjajah Inggeris.

Bagaimanapun, dengan meminjam pendapat Abdul Samad Idris, penulis menyimpulkan mereka pada dasarnya ialah nasionalis dan bukan komunis, dan mereka berjuang bersama-sama dengan komunis masih lagi dalam konteks perjuangan untuk mencapai kemerekaan.




..........
Rujukan

Abdul Samad Idris. 1982. 25 Tahun Merdeka. Kuala Lumpur: Penerbitan Pustaka Budiman.

Ahmad Boestamam. 1972. Merintis Jalan ke Puncak.Kuala Lumpur: Pustaka Kejora.

Aishah Ghani. 1992. Memoir Seorang Pejuang. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Cheah Boon Kheng. 1979. The Masked Comrades: A Study of the Communist Front 1945-48. Singapore: Times Book International.

Insun Sony Mustapha. 1999. Memoir Mustapha Hussain. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Means, G.P. 1970. Malaysian Politics. New York: New York University Press.

Mohamed Salleh Lamry. 2005. Pejuang Kemerdekaan yang Dilupakan:

Kisah dari Jenderam. Kertas kerja tambahan untuk Seminar Sejarah Daerah Kuala Langat. Banting: 29 Januari.

Mohamed Salleh Lamry. 2006. Gerakan Kiri Melayu dalam Perjuangan Kemerdekaan.
Bangi: Penerbit Unviersiti Kebangsaan Malaysia.

Mohamed Salleh Lamry. 2006. Gerakan dan Tokoh Kiri. Petaling Jaya: SIRD.

Mohamed Salleh Lamry. 2007. Pengaruh Indonesia dan Gerakan Nasionalis Kiri Melayu:

Kajian Kes di Kampung Jenderam. Dalam Armida S.Alisjahbana, Ramlan Panigoro dan Parikesit (Pnyt..) Indonesia dan Malaysia dalam Era Globalisasi dan Desentralisasi Mewujudkan Kemakmuran Bersama. Buku 2. Bandung: Universitas Padjadjaran.

Mohamed Salleh Lamry. Pengaruh Indonesia dan Gerakan Nasionalis Kiri Melayu:

Kajian Kes di Kampung Jenderam. 2007/2008. Malawati. Bil.7.
Mohd.Nor bin Mohd.Amin. 1977/78. Jenderam: Korban Darurat 1948-1958. Tesis B.A
Universiti Malaya.

Ramlah Adam. 2004. Gerakan Radikalisme di Malaysia (1938-1965). Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Roff, W.R. 1974. The Origins of Malay Nationalism. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.

Shamsiah Fakeh. 2004. Memoir Shamsiah Fakeh: Dari AWAS ke Rejiman Ke-10. Bangi:
Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
Stockwell, A.J. 1979. British Policy and Malay Politics During the Malayan_Union

Experiment, 1942-1948. Kuala Lumpur: MBRAS.


* Kertas kerja untuk Seminar Sejarah Daerah Hulu Langat, Shah Alam, 22 Disember 2009.
** Mantan Prof. Madya di Jabatan Antropologi dan Sosiologi, Universiti Kebangsaan Malaysia.

No comments:

Post a Comment