
Dewan Pemuda PAS Kawasan Klang amat berbangga dengan sambutan Ulangtahun ke-100 Pelabuhan Klang. Kami juga ingin merakamkan ucapan tahniah diatas pencapaian Northport serta Westport.
Namun, kami merasakan pencapaian tersebut sia-sia sahaja kerana terdapat jurang yang amat besar di antara realiti pencapaian tersebut dan keadaan bandar Pelabuhan Klang. Walaupun Pelabuhan Klang tersenarai sebagai Pelabuhan ke-13 terbaik di dunia, namun realitinya, bandar Pelabuhan Klang merupakan sebuah bandar terbiar dan berbahaya.
Justeru itu, kami telah mengadakan sebuah mesyuarat bersama dengan Lembaga Pelabuhan Klang untuk membincangkan isu ini pada pagi tadi. Kami merakamkan ribuan terima kasih kepada Dato’ Teh Kim Poo dan LPK yang bersetuju untuk berjumpa dengan kami. Beliau telah mengumpulkan semua badan-badan yang relevan seperti MPK dan JKR untuk duduk berbincang dengan kami.
Didalam mesyuarat pagi tadi, kami memohon kepada Lembaga Pelabuhan Klang untuk bertanggungjawab terhadapt kesejahteraan penduduk Pelabuhan Klang juga, bukan sahaja terhadap mencari keuntungan di dalam perniagaan pelabuhan.
Kami mencadangkan agar laluan motosikal disediakan bagi jalan-jalan di pelabuhan. Ini diharapkan dapat mengurangkan kemalangan jalan raya serta meningkatkan tahap keselamatan pekerja pelabuhan. Kenderaan berat yang laju tidak dapat melihat motosikal dan kemalangan sebegini selalunya diiringi kematian. DPPK merasakan bahawa setiap nyawa berharga dan sebarang kelewatan di dalam hal ini tidak boleh diterima sama sekali.
Permintaan ini telah pun diutarakan oleh pelbagai pihak. Namun, ianya tidak kedengaran dan tidak diendahkan. Yang perlu ditekankan adalah peranan badan kerajaan di dalam gerakan mengutamakan keselamatan pekerja. Memandangkan LPK telah dipertanggungjawabkan untuk memajukan Pelabuhan Klang, maka seharusnya ia juga mengutamakan keselamatan pekerja Pelabuhan Klang dan penduduk Pelabuhan Klang secara amnya. Secara amnya, JKR dan LPK mengakui bahawa jalan-jalan di Pelabuhan Klang banyak yang rosak dan berbahaya. Oleh itu, JKR berjanji untuk memperbaiki jalan yang sedia ada dan serta menambahkan papan tanda amaran yang bersinar dan berlampu dalam usaha masa terdekat.
Namun, untuk mendapatkan laluan motosikal, JKR Klang dan Selangor akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan pembiayaan dari kerajaan Pusat. Namun, DPPK merasakan ini harus dilaksanakan secepat mungkin dan ianya merupakan tanggungjawab Kerajaan Pusat untuk memastikan JKR mendapat pembiayaan yang sewajarnya untuk melaksanakan projek ini. JKR juga menambah bahawa terdapat peruntukan untuk laluan motosikal di Westport sahaja dan bukan untuk jalan-jalan di Northport.
Selain itu, isu lampu-lampu jalan yang rosak juga dibangkitkan. Semua pihak mengakui bahawa lampu-lampu jalan rosak kerana kecurian fius serta vandalism. Oleh kerana itu, kami menyarankan kepada JKR untuk
mempertingkatkan kesedaran rakyat. DPPK juga memohon kepada rakyat agar memelihara dan menjaga harta kerajaan demi kebaikan orang ramai.
Kami juga memohon kepada Lembaga Pelabuhan Klang untuk mengawal kelajuan kenderaan-kenderaan berat. LPK seharusnya berkerjasama dengan JPJ untuk memantau kelajuan kenderaan-kenderaan berat ini. LPK juga boleh berkerjasama dengan JKR untuk meletakkan struktur-struktur jalan yang dapat mengurangkan laju kenderaan-kenderaan ini. Lebih penting lagi, LPK seharusnya mengemukakan polisi kepada Menteri Pengangkutan agar pemantauan kelajuan kenderaan berat melalui system elektronik GPS dapat dilaksanakan.
LPK menyatakan bahawa terdapat Skuad Peronda Jalan untuk memantau kelajuan kenderaan-kenderaan berat. Namun, LPK akan berkerjasama dengan PDRM untuk meningkatkan tahap pemantauan, selain menambahkan rondaan.
Selain itu, kami juga memohon kepada Lembaga Pelabuhan KLang untuk menceriakan dan menghijaukan lagi bandar Pelabuhan Klang. Kini, ianya hanyalah bandar konkrit yang dipenuhi dengan bangunan kusam dan usang. Keaddan pokok-pokok di dalam pelabuhan juga amat menyedihkan - seolah-olah hidup segan, mati tidak mahu.
Dalam isu ini, MPK memperjelaskan bahawa krisis MPK dan Alam Flora mengganggu kerja-kerja. Kami menekankan bahawa isu ini perlu diselesaikan dan MPK perlu lebih serius dengan mengambil inisiatif untuk mengatasi masalah ini.
Kami juga mencadangkan kepada Lembaga Pelabuhan Klang agar mereka memimpin dan mengambil tanggungjawab untuk memastikan semua badan-badan relevan seperti JKR, Jabatan Alam Sekitar serta Northport dan Westport, duduk semeja dan membawa perubahan kepada Pelabuhan Klang. Sekiranya kewangan menjadi isu, maka Kementerian Pengangkutan serta Kerajaan Pusat harus bertanggungjawab dan menyediakan sumber kewangan tersebut.
Kami amat menghargai dan berbangga dengan respons yang cepat dan professional dari LPK terutamanya dari Dato’ Teh Kim Poo dan Dato' Kapten Haji Abdul Rahim Bin Abd Aziz. Namun kami berharap mesyuarat ini bukan hanya omong kosong dan tidak membuahkan hasil apa-apa. Bagi kami, pelaksanaan cadangan-cadangan diatas lebih penting dan perlu diutamakan. Kami berharap LPK serta badan-badan relevan dapat melaksanakan tanggungjawab mereka di dalam masa terdekat ini.
DPPK Klang juga akan berjumpa dengan Kerajaan Negeri serta MPK untuk melihat respon mereka terhadap pembaharuan Pelabuhan Klang.
Sukry Saiden
Pengerusi Lajnah Pekerja
Dewan Pemuda PAS Kawasan Klang
No comments:
Post a Comment