
KUALA LUMPUR, 31 Okt: Mahasiswa menyambut keputusan Mahkamah Rayuan hari ini berhubung Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) dengan penuh kegembiraan.
Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) Ahmad Syazwan Muhammad Hasan (gambar) berkata, ini kerana perjuangan menentang akta zalim itu sebenarnya suatu perjuangan asasi dan cukup bermakna.
“Meletakkan keutamaan kita untuk melihat mahasiswa dibebaskan dari penjara Auku semakin menyerlah apabila Auku kini sudah tidak relevan untuk dilaksanakan,” ujarnya.
Beliau mengulas keputusan Mahkamah Rayuan hari ini bahawa Seksyen 15(5) Auku yang membenarkan universiti mengambil tindakan disiplin terhadap pelajarnya adalah tidak mengikut perlembagaan dan mencabut kebebasan bersuara.
Menurut beliau, sememangnya Auku tidak menyokong semangat Perlembagaan Persekutuan dan bercanggah dengan hak asasi manusia untuk bersuara, berhimpun dan menyertai kumpulan bebas.
Katanya, walaupun kejayaan Auku menyekat mahasiswa berfikir dan berpartisipasi dalam isu politik negara, namun mutakhir ini melihatkan bahawa mahasiswa sudah tidak takut lagi dengan Auku.
Tambahnya, akhirnya kejayaan dicapai dengan kes 4 orang mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang semesti menjadi sejarah baru dalam dunia kemahasiswaan Malaysia.
Justeru, ujarnya Gamis mengharapkan agar pihak kerajaan sekali lagi untuk menimbang supaya Auku dapat digantikan dengan akta baru yang mempunyai roh dan semangat perlembagaan dan menyunjung prinsip kebebasan bersuara dan berfikir mahasiswa.
Beliau menambah, jika ISA diharpuskan kerana deasakan ramai dan tekanan awam, maka Auku juga sama.
Menurutnya, sifat zalim dan menyekat Auku adalah serupa dan senada dengan apa yang ada dalam ISA.
“Tahniah juga diucapkan kepada 4 orang mahasiswa UKM yang berani mencabar akta ini dan perjuangan ini akan diteruskan oleh mahasiswa yang lain untuk membebaskan diri dari akta yang sudah paranoid pada hari ini,” ujarnya lagi.
No comments:
Post a Comment