Wednesday, November 23, 2011

Himpunan aman diikat peraturan menggerunkan


Dewan Pemuda PAS Malaysia mendakwa himpunan aman kini diikat dengan pelbagai peraturan yang menggerunkan.

Ketuanya, Nasrudin Hassan berkata, mereka kononnya membenarkan himpunan aman, tetapi sebaliknya segala peraturan yang ditetapkan seperti menutup ruang himpunan tersebut boleh diadakan.

Malah, tambahnya, ia dilihat lebih keras dari peraturan yang sedia termaktub dalam Akta Polis.

"Jika sebelum ini denda RM2,000 kini telah meningkat kepada RM20,000," katanya dalam satu kenyataan mengulas mengenai Rang Undang-undang Perhimpunan Aman.

"Pula disyaratkan notis 30 hari sebelum himpunan diadakan, tidak boleh diadakan di jalan raya dan mesti di luar 50 meter dari rumah
ibadah.

"Segala peraturan dan syarat ini seperti mereka tidak mahu himpunan aman diadakan. Sedangkan himpunan tersebut, jika sifatnya aman, kenapa tidak dibenarkan penganjuran himpunan tersebut sekalipun di perkarangan masjid dan di jalan raya," katanya.

Sebagai contoh, katanya, jika timbul isu yang melibatkan kepentingan agama Islam seperti penghinaan terhadap agama, isu aqidah dan seumpamanya, sudah tentu bermula dari mimbar khutbah sehinggalah perkarangan masjid menjadi lokasi himpunan yang paling starategik dan berkesan.

Justeru, tegas Nasrudin, tujuan himpunan aman dianjurkan adalah untuk memberi maklumat, mencetuskan kesedaran, menyatukan suara dan tindakan.

"Demikian juga himpunan aman yang memerlukan perarakan dari satu destinasi ke satu destinasi yang lain untuk menarik perhatian umum terhadap mesej yang dibawa oleh penganjur jelas memerlukan jalan raya," katanya.

"Isu yang berlaku terkadang perlu ditangani segera," kata Nasrudin sambil mempersoalkan rasional menunggu 30 hari selepas sebelum himpunan aman itu boleh diadakan, kerana disyaratkan notis himpunan tersebut mestilah 30 hari sebelum.

"Peraturan ini tidak menepati aspirasi penganjuran himpunan aman. Kita bukan berhimpun untuk konsert hiburan yang membolehkan kita bersiap awal. Penganjuran konsert, usahkan 30 hari, tiga bulan sebelum pun tidak mengapa.

"Tetapi ini adalah himpunan aman yang banyak keadaannya bersifat respon balas terhadap sesuatu isu semasa yang timbul dan perlu tindakan pantas.

"Contoh mudah, hari ini orang hina agama anda, apakah anda perlu menunggu 30 hari untuk menyatakan bantahan terhadap penghinaan tersebut?" tegasnya.

Menurutnya, jika sifat himpunan itu aman, maka apa yang diperlukan ialah kawalan keselamatan oleh pihak polis pada hari peristiwa atau himpunan itu dianjurkan, tanpa perlu pihak polis melancarkan sebarang provokasi seperti menggunakan gas pemedih mata dan meriam air.

"(Ia) sebagaimana yang dilakukan ke atas himpunan aman citra warna, perarakan maulidur rasul, perarakan hari kebangsaan atau sambutan hari kemerdekaan negara serta lainnya," katanya sambil menambah semua himpunan besar itu memerlukan lokasi seperti perkarangan masjid dan jalan raya.

Nasrudin mendakwa, di sebalik tabir slogan transformasi yang diledakkan oleh Umno dan BN, mereka secara strategik sedang merangka satu tindakan untuk lebih mencengkam kuasa ke atas rakyat, menyempitkan ruang demokrasi dan mengeraskan hukuman ke atas rakyat.

No comments:

Post a Comment